SHAH ALAM - Keberkesanan dan keupayaan ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) dilihat mampu memberi keyakinan tinggi buat calon untuk berkempen dengan lebih baik pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Ketua Pasukan RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, ia bukan sahaja terbukti berjaya mempamerkan imej bersih di mata pengundi, namun lebih penting RBTag menjadi mekanisme penting dalam mengukur kredibiliti dan keupayaan calon yang bertanding.
Beliau berkata, menerusi ujian psikometrik RBTag yang diduduki calon, mereka sebenarnya telah membuktikan kepada pengundi bahawa dia adalah calon terbaik untuk dipilih kerana mempunyai integriti tinggi serta bersih.
Malah kata beliau, kesediaan mengambil ujian RBTag telah melunaskan tanggungjawab mereka kepada rakyat untuk berkhidmat secara ikhlas dan tidak cenderung melakukan amalan rasuah.
"Malah RBTag juga mampu menjadi kaedah pengawalan risiko ketirisan yang mungkin berlaku akibat tingkah laku tidak berintegiriti oleh pemimpin yang tidak jujur.
"Gesaan Rasuah Busters berhubung RBTag bukan bertujuan memerangkap atau melemahkan kredibiliti calon-calon, sebaliknya setiap keputusan akan menjadi indikasi untuk proses intervensi diadakan pada tret yang lemah dan untuk tret yang kuat terus diperkukuhkan bersama jalinan rakyat," katanya kepada kru Rasuah Busters pada Rabu.
Hussamuddin berkata, Rasuah Busters meletakkan enam ciri calon yang perlu diundi iaitu bersih daripada rasuah, bertanggungjawab, berintegriti, membela nasib rakyat, jujur serta bijak.
Untuk itu kata beliau, ujian psikometrik RBTag boleh menjadi bimbingan dan panduan untuk pengundi membuat keputusan yang berasas dan baik, selari dengan gesaan enam ciri pemimpin baik yang disarankan oleh gerakan massa pasukan Rasuah Busters.
Katanya lagi, calon yang tampil dan berani menduduki ujian RBtag secara tidak langsung menjadi penawar kekhuatiran rakyat untuk memilih calon terbaik, bersih serta antirasuah.
"Kesungguhan calon menduduki ujian psikometrik RBtag mencerminkan mereka begitu komited mentadbir negara dengan baik, sekali gus meningkatkan keyakinan orang ramai bahawa mereka mampu menjamin kebajikan rakyat dan memerangi isu rasuah," ujarnya.
Untuk bertempur dengan rasuah yang sudah membarah di negara ini, beliau berkata, strategi tadbir urus dan iltizam tinggi menentang rasuah perlu diambil serius oleh pemimpin, bukan hanya dengan menjawab soalan wartawan atau menabur janji-janji kepada media serta rakyat.
Tegas Hussammuddin, ujian psikometrik RBTag secara saintifik dapat menjadi panduan untuk menilai profil calon-calon yang layak memikul mandat rakyat.
"Kerana itulah Rasuah Busters hadir bersama solusinya memerangi budaya rasuah dan salah guna kuasa menerusi RBTag yang dilihat berupaya menilai sebaiknya keperibadian seseorang individu.
"Justeru itu, calon-calon yang bertanding digesa menjalankan ujian ini jika benar-benar ingin memerangi rasuah.
"Selain itu, rakyat diseru mendesak calon-calon wakil rakyat mereka mengambil ujian ini sebagai bukti mereka serius dalam membela nasib pengundi dan ingin kembalikan maruah negara ini dengan menjadikan ia bebas daripada rasuah," katanya.