BATU PAHAT - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan Khairy Jamaluddin Abu Bakar mempunyai kredibiliti untuk menerajui negara sebagai Perdana Menteri pada masa akan datang.
Menurut Ismail Sabri, perkara itu tidak mustahil berlaku jika calon BN Parlimen Sungai Buloh, mendapat sokongan penuh daripada semua pihak.
"Kalau kita (BN) menang dalam pilihan raya umum dan dapat sokongan daripada parti, Khairy Jamaluddin merupakan salah seorang yang layak untuk diangkat jadi Perdana Menteri satu masa nanti," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Ramah Mesra bersama warga Ayer Hitam di Kompleks Balai Orang Ramai, Taman Suria di sini pada Rabu.
Hadir sama, Menteri Pengangkutan yang juga calon BN di Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Wee Ka Siong, Pengerusi BN Johor, Datuk Seri Hasni Mohamad dan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Sebelum ini, Khairy menyatakan hasratnya untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
Menurut Menteri Kesihatan itu, beliau berdiri sebagai calon BN di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bukan bertujuan ‘membunuh’ dirinya sendiri, sebaliknya ia adalah satu cabaran yang sedang dipikulnya.