Bacalah al-Quran walau merangkak-rangkak

Iklan
Bacalah al-Quran dengan tajwid yang betul dan fahamilah isi kandungannya. -GAMBAR HIASAN.

KITA diciptakan dengan matlamat yang sangat suci. Ia disebut dalam al-Quran:"Dan tidaklah Aku ciptakan jin dan manusia melainkan supaya mereka menyembah Aku." (Surah al-Zariyat: 56)

Oleh itu, hidup kita ini mesti diuruskan agar selari dan memenuhi tujuan pengabdian ini. Jika tidak, hayat manusia di dunia ini hanya sia-sia kerana tiada nilainya di akhirat kelak.

Iklan
Iklan

Namun, ALLAH SWT tidak menciptakan kita lalu dibiarkan terkontang-kanting mencari dan memikirkan bagaimana perlu kita mengaturkan plot kehidupan masing-masing. Oleh sebab itulah diturunkan al-Quran sebagai panduan atau manual kehidupan setiap insan.

ALLAH SWT berfirman:"Bulan Ramadan ialah bulan yang di dalamnya diturunkan al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang benar dan yang salah)." (Surah al-Baqarah, 185)

Iklan

Jelas sekali, al-Quran diturunkan sebagai petunjuk untuk kita tahu apa yang benar dan salah. Jika panduan ini diikuti, barulah kita hidup dengan 'fungsi' yang betul dan baik.

Maka, hubungan seorang Muslim dengan al-Quran sangat penting. Tanggungjawab kita terhadap al-Quran perlu dijadikan agenda penting dalam kehidupan. Pertama, belajar membaca al-Quran dengan tajwid yang betul. Alhamdulillah, secara umum, kelas pengajian al-Quran telah diterapkan di dalam sistem pendidikan di peringkat sekolah rendah lagi.

Iklan

Bagi yang dewasa, jika masih belum mampu membacanya dengan betul, usah malu untuk belajar. Biarpun kita merangkak-rangkak belajar membaca, itu lebih baik dari kita akan merangkak-rangkak di akhirat kelak.

Bahkan, Rasulullah SAW menjanjikan kelebihan berganda bagi mereka yang tidak lancar dan berusaha mempelajarinya.

Sabda baginda SAW:"Seorang yang lancar membaca al-Quran akan bersama para malaikat yang mulia dan sentiasa selalu taat kepada ALLAH, adapun, yang membaca al-Quran dan tersekat-sekat di dalamnya dan sulit atasnya bacaan tersebut, maka, baginya dua pahala.” (Riwayat Muslim)

Kedua, jadikan bacaan Al-Quran sebagai rutin harian. Jika selalu membacanya, ia melancarkan bacaan kita. Semakin kita akrab dengan al-Quran, semakin kita cintakannya.

Ketiga, usaha memahami al-Quran. Bayangkan jika manual yang anda dapat, ditulis dalam bahasa yang anda tidak faham. Adakah anda akan tahu apa panduan dan pantang larang yang ditulis? Sudah tentu tidak!

Begitu juga dengan al-Quran. Selepas belajar membaca dengan betul, peringkat lebih penting adalah memahami apa yang dibaca. Apabila kita faham apa yang ALLAH nyatakan dalam sesuatu ayat, barulah ketika itu kita benar-benar jadikan al-Quran sebagai panduan.

Jika tidak faham apa yang dibaca, kekallah al-Quran menjadi bahan bacaan sahaja. Hanya meraih pahala membaca. Bagaimana untuk menjadi panduan hidup?

Sebagai orang beriman, harus ada perbezaan nilai di dalam membaca al-Quran berbanding orang lain. Oleh itu, dakwaan kita beriman dengan al-Quran perlu ditunjukkan bukti dan komitmen.

Justeru, tindakan awal ialah baca al-Quran bersama maksud ayat tersebut. Ini boleh dibuat sendiri. Kemudian, kita perlu tahu hukum dan pengajaran ayat tersebut. Hal ini perlu kepada tafsir dan memerlukan guru untuk menghuraikannya.

Jadi, masukkan dalam aktiviti hidup kita, pengajian tafsir al-Quran secara komited. Pilih guru berkelayakan untuk menghuraikannya secara ilmiah. Jika tidak mampu hadiri secara langsung, boleh ikuti kelas secara online. Bacalah al-Quran dan fahamlah isi kandungannya. Agar ia menjadi panduan kita di dunia dan pembela di akhirat.

***Ustaz Abd Razak Muthalib merupakan Perunding Latihan & Motivasi, Akademi Magnet Sukses