Isu LRT: Kerajaan wajar tambah pengangkutan alternatif

Iklan
Sidang akhbar oleh pemimpin-pemimpin PH selepas meninjau situasi di stesen LRT Universiti yang operasinya turut terjejas susulan masalah teknikal yang berlaku

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kerajaan digesa segera memberikan lebih banyak pilihan pengangkutan alternatif kepada pengguna yang terjejas susulan penutupan perkhidmatan sistem Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya selama tujuh hari bermula Rabu.

Bekas Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, selaku kerajaan sementara yang perlu mengambil tanggungjawab, tindakan secara menyeluruh perlu dilaksanakan dengan melibatkan pelbagai pihak berkaitan serta-merta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana apa yang berlaku adalah masalah besar dipercayai melibatkan kira-kira 300,000 pengguna yang terkesan.

"Kerajaan 'caretaker' perlu ada plan komprehensif. Boleh arahkan perkhidmatan tren lain seperti KTM menambah frekuensi perkhidmatan.

Iklan

"Begitu juga perkhidmatan bas. Bas-bas yang Prasarana sediakan amat sesak pada waktu puncak.

"Jadi kita gesa supaya ambil langkah lebih drastik. Jika tidak cukup, sewa bas lain dan jadikan bas shuttle

Iklan

"Kementerian Pengangkutan juga sepatutnya perlu panggil dan bincang bersama syarikat e-hailing lihat apa apa alternatif yang boleh dibuat supaya pengangkutan boleh ditambah. Jika kerajaan perlu beri subsidi, mereka perlu buat kerana ini melibatkan krisis," katanya dalam sidang akhbar di Stesen LRT Universiti di sini pada Rabu.

Sementara itu, penyandang kerusi Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil berkata, apa yang diutarakan oleh Anthony adalah perkara yang tidak mustahil mampu dilaksanakan selaku kerajaan sementara.

Apatah lagi, apabila Prasarana sendiri tidak mampu memberi jaminan masalah dihadapi akan selesai dalam tempoh tujuh hari.

"Jika kerajaan sementara tidak dapat laksanakan tindakan segera sekarang bermakna mereka tidak bersedia untuk beri khidmat terbaik kepada rakyat jika menang.

"Bagi Lembah Pantai, kita tak boleh tunggu. Jadi saya sedang mengambil langkah berbincang dengan pihak pengangkutan e-hailing untuk sediakan pengangkutan tambahan percuma kepada mereka yang memerlukan di kawasan ini dan berharap bermula esok,"katanya.

Sementara itu, calon PH Parlimen Titiwangsa, Khalid Abdul Samad berkata rakyat tidak seharusnya dibebankan dengan kos tambahan bagi pengangkutan mereka ke tempat kerja disebabkan kegagalan kerajaan menguruskan krisis.

"Hidup masyarakat di Kuala Lumpur amat bergantung kepada kemudahan perkhidmatan LRT. Rakyat tak boleh tanggung kos tambahan walaupun ada alternatif pengangkutan lain," katanya.

Pada Khamis, Rapid KL mengumumkan sebahagian LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari.

Penggantungan operasi membabitkan 16 stesen LRT dari Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park.