KUALA SELANGOR - Seramai 29,000 anggota bomba berada pada tahap kesiapsiagaan tinggi sekiranya berlakunya banjir terutama semasa hari pengundian pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, kesiapsiagaan itu bukan sahaja membabitkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) malah turut dibantu bomba bantuan dan pasukan bomba sukarela.
Jelas beliau, anggota dan aset bomba telah diatur gerak dan sentiasa bersedia untuk membantu terutama dalam keadaan kecemasan.
"Kesiapsiagaan bomba sudah bermula dari awal lagi dan kita meneliti sebarang kebarangkalian dalam semua aspek termasuk laporan daripada Jabatan Meteorologi," katanya pada sidang akhbar selepas Program Kenduri Rakyat di Pusat Daerah Mengundi Kampung Bunut Cherakah di sini pada Rabu.
Sehubungan itu, katanya, cuti anggota dan pegawai bomba di seluruh negara dibekukan dalam operasi membantu dan menyelamat mangsa banjir.
Malah, ujar beliau, dari segi waktu operasi penugasan juga dilanjutkan daripada 12 jam kepada 24 jam.
Reezal Merican berkata, Pasukan Gerak Cepat (Red Team) juga digerakkan memantapkan lagi persiapan serta persediaan perkhidmatan kebombaan dan penyelamatan secara lebih efisyen.
Selain itu, katanya, tumpuan juga turut diberi dari aspek logistik iaitu aset kenderaan dan jentera pelbagai fungsi termasuk di darat, air dan udara berada dalam keadaan baik dan bersedia digerakkan ke lokasi kecemasan dan bencana.
Malah, katanya, aset terbabit juga sudah digerakkan ke beberapa kawasan berisiko tinggi dengan lebih awal.
"Kita mendapat tambahan jentera dan bot bagi perolehan darurat yang secara tidak langsung dapat membantu kesiapsiagaan semasa bencana," kata beliau.
Ujarnya, kejadian banjir tahun lalu banyak memberi pengajaran dan pengalaman kepada bomba terutama banjir melibatkan kawasan perumahan sempit.
"Kadang-kadang semasa operasi menyelamat dilakukan, ada kereta yang diparkir di tempat banjir hingga menyebabkan bot penyelamat melanggar kenderaan milik penduduk," jelasnya
Ujar beliau, beberapa penambahan teknologi turut digunakan bagi membantu mangsa banjir antaranya penggunaan pelampung menyelamat kawalan jauh.
"Kadang-kadang sukar penyelamat hendak membantu operasi menyelamat jika keadaan air deras dan ini bukan sahaja mengancam mereka yang ingin diselamatkan, malah risiko tinggi juga dihadapi penyelamat.
"Lebih baik kita menggunakan pelampung alat kawalan jauh ini untuk membantu mangsa yang terperangkap disebabkan aliran deras dan sebagainya," katanya.