GEORGETOWN - DAP menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengkaji semula garis panduan 10 Langkah Pengundian yang dikeluarkan baru-baru ini sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setiausaha Organisasi DAP Kebangsaan, Steven Sim Chee Keong berkata, langkah keenam yang digariskan mengarahkan pengundi untuk bergerak ke meja Ketua Tempat Mengundi (KTM) bagi meninggalkan telefon bimbit.
Menurutnya, garis panduan itu seolah-olah dibuat untuk budak sekolah dan SPR tidak sepatutnya mengeluarkan arahan sedemikian.
"Tindakan mengundi itu sendiri adalah tanggungjawab berat, hendak menentukan nasib sebuah negara. Kita boleh buat tapi mereka tak yakin kita boleh jaga telefon bimbit sendiri?
Chee Keong yang juga calon Pakatan Harapan (PH) kerusi Parlimen Bukit Mertajam berkata, sekiranya telefon bimbit yang dibawa masuk itu disalah guna seperti rakam kertas undi untuk jual undi, itu perlu dibuat tangkapan lain.
Katanya, tangkapan juga perlu dibuat terhadap pihak yang jual beli undi.
"Jangan pula layan semua kita macam budak-budak sekolah.
"Mohon SPR tarik balik arahan ini. Susahkan pengundi, susahkan pegawai bertugas," katanya.