PRU15: Kalah tiga kali, tak kisah dilabel calon kitar semula

Iklan
Najihatussalehah

PARIT - Ketua Muslimat Pas Perak, Dr Najihatussalehah Ahmad tidak kisah dilabelkan sebagai calon kitar semula apabila dipilih bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bota pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini.

Beliau yang pernah bertanding sejak PRU12 menyifatkan setiap kawasan mempunyai cabarannya yang tersendiri dan ia menjadi pengalaman barunya untuk memikat pengundi di kawasan ditandinginya.

Iklan
Iklan

"Saya tidak hairan sekiranya ada pihak yang melabelkan saya sebagai calon kitar semula, cuma kali ini saya dipilih pucuk pimpinan untuk bertanding di kawasan saya mencari rezeki dan tempat saya tinggal.

"Pertama kali bertanding di DUN Bota, fokus kali ini terarah di kawasan Seri Iskandar yang mempunyai lebih 9,000 pengundi termasuk golongan muda. Selain berkempen secara bersemuka, penggunaan media sosial turut dimanfaatkan bagi mendekati golongan berusia 18 tahun ke atas," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini pada Rabu.

Iklan

Berdasarkan rekod, Najihatussalehah pernah bertanding sebagai calon Parlimen Parit pada 2008 kemudian DUN Belanja (PRU13) dan sekali lagi calon Parlimen sama pada PRU14 namun, ketiga-ketiganya tewas kepada penyandang kerusi itu, Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN).

DUN Bota kali ini menyaksikan pertandingan empat penjuru apabila beliau berdepan dengan penyandang kerusi berkenaan, Khairul Shahril Mohamed (BN-UMNO), Usaili Alias (PH-PKR) dan Mohd Shahril Harahab (GTA-Pejuang).

Iklan

Najihatussalehah berkata, Bota terletak di daerah Perak Tengah berpotensi untuk dijadikan hub ekonomi ikan air tawar dan buah-buahan tempatan.

"Sepanjang Sungai Perak mempunyai ramai pengusaha ternakan ikan air tawar seperti baung, tilapia dan patin bermula dari Parit sehingga ke Lambor Kanan yang boleh diketengahkan.

"Begitu juga dengan pengeluaran buah durian serta asam gelugur kering yang boleh dikomersialkan secara meluas bagi meningkatkan taraf ekonomi penduduk," katanya.

Jelas beliau,destinasi pelancongan dan jejak warisan boleh dibangunkan berikutan terdapatnya makan-makam sultan di sepanjang sungai yang melambangkan sejarah Kesultanan Perak.