BENTONG - Sebut sahaja nama Rara, figura politik atau nama sebenarnya Young Syefura Othman amat popular di kalangan penduduk di Parlimen Bentong.
Biarpun baharu satu penggal, rajin turun padang dan mudah memberikan kerjasama antara maklum balas positif terhadap penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ketari itu oleh pengundi di kawasan tersebut.
Berbekalkan pengalaman dan maklum balas positif itu membuatkan DAP mempertaruhkan wanita besi kelahiran Perak tersebut untuk bertanding di kerusi Parlimen Bentong bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU1).
Parlimen Bentong menyaksikan saingan lima penjuru, selain Tan Sri Liow Tiong Lai (BN), Rara juga berdepan penyandang kerusi tersebut, Wong Tack yang kini bertanding atas tiket Bebas, Datuk Roslan Hassan mewakili Perikatan Nasional (PN) dan seorang lagi calon Bebas, Achik Khalil.
Ikuti wawancara Sinar Harian bersama calon berusia 33 tahun itu yang juga Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang berkongsi visi, idea dan harapannya untuk Parlimen Bentong.
Apakah perasaan anda apabila dicalonkan untuk kerusi Parlimen Bentong buat kali pertama dalam usia muda dan sebagai wanita diberikan amanah bertanding di kerusi panas pada PRU15 kali ini?
RARA: Selepas diberitahu pucuk pimpinan untuk menjadi calon kerusi ini, saya agak terkejut kerana parti memberikan kepercayaan untuk naik dari Dewan Undangan Negeri (DUN) ke Dewan Rakyat.
Selain terkejut, saya juga gembira juga kerana diberikan peluang..Insya-ALLAH saya akan gunakan peluang ini sebaik mungkin untuk membuktikan kemampuan bahawa saya adalah calon paling layak untuk mereka (pengundi) pilih membawa suara mereka ke Parlimen.
Dan track record saya di DUN Ketari selama satu penggal, Alhamdulillah pengundi di DUN ini boleh menilai kerja kerja saya di sini. Saya berharap ia boleh membawa kepada kepercayaan mereka untuk saya membawa suara pengundi di sini ke Parlimen.
Terima kasih juga kepada parti kerana membuka ruang dan peluang walaupun ia bukan tugas mudah kerana ia kerusi panas. Saya juga bakal berdepan pula dengan lawan hebat, sengit seperti bekas menteri, namun ia tidak melemahkan semangat untuk bersaing dengan calon-calon lain.
Dianggap calon favourite untuk kerusi Parlimen Bentong, apakah ia memberikan kelebihan buat anda?
RARA: Ia dianggap kerusi panas dalam PRU15 ini dan walaupun saya dikatakan calon favourite, saya tidak mahu ambil mudah dan duduk selesa.
Dalam tempoh dua minggu ini, saya perlu bekerja kuat, berusaha berjumpa pengundi seramai mungkin pengundi untuk menyampaikan apakah yang ingin kita bawa, perubahan dan inilah masa mereka (pengundi) untuk memilih politik baru, politik orang muda.
Saya bersyukur selama satu penggal di Ketari, mereka telah mengenali gerak kerja saya dan ia banyak membantu ketika berkempen untuk Parlimen Bentong.
Tapi walau apa pun ia bukan alasan untuk tidak berkempen di Ketari dan dalam tempoh beberapa hari ini saya turun berkempen di DUN Ketari sebelum pergi ke kawasan setiap DUN lain.
Bagaimana cara anda ingin menarik pengundi Melayu khususnya kali ini?
RARA: Saya akui untuk menarik pengundi Melayu khususnya ia bukan tugas mudah dan berat untuk tarik kepercayaan mereka.
Tapi ia tidak lemahkan semangat saya untuk mendapatkan kepercayaan mereka.Saya harap pengundi di kawasan Felda, kampung-kampung tradisi contohnya dapat menilai dari segi kerja dan apa akan dibawa untuk kawasan Bentong.
Jangan nilaikan hanya kerana parti diwakili dan fitnah yang datang ke parti saya. Paling penting, adalah kita mahu fokus untuk menjadikan negara ini bersih, aman makmur, bebas korupsi, rasuah, ekonomi lebih baik serta mengelakkan ketirisan melampau. Jadi inilah peluang buat mereka untuk memilih calon yang bersih, tiada isu untuk membawa suara mereka. Saya adalah calon paling sesuai dan inilah masanya untuk membawa politik baharu.
Apakah bentuk kempen yang digunakan anda untuk mendekati pengundi?
RARA: Saya menggunakan pendekatan media sosial khususnya bagi mendekati golongan muda selain turun ke lapangan, rumah ke rumah pelbagai golongan seperti warga emas.
Untuk pengguna media sosial juga, saya berharap mereka bijak menggunakan platform tersebut untuk menilai sebarang maklumat yang diperoleh sekali gus bijak memilih pemimpin yang benar-benar boleh lakukan perubahan dan menjaga kebajikan rakyat.
Apakah yang anda nampak isu dan perkara yang boleh dilakukan di kawasan Parlimen Bentong ini?
RARA: Banyak perkara seperti isu banjir. Ia sangat sensitif terutamanya kepada penduduk yang tinggal berhampiran sungai. Kita mahukan masalah ini dapat diselesaikan segera contohnya dengan projek tebatan banjir.
Selain itu, isu air. Ia juga isu serius dengan pelbagai masalah seperti masalah paip pecah dan tidak terjaga.
Penerokaan alam yang diwartakan tapi tidak dikawal dengan baik oleh penguatkuasa juga menjadi perhatian saya.
Isu tangga gaji yang masih rendah di Bentong, masalah kekurangan rumah untuk orang muda dan harga rumah di sini agak mahal kerana berhampiran Kuala Lumpur serta membebankan orang muda yang baru memulakan hidup mereka.
Turut menjadi perhatian di sini, tiada kawasan rekreasi yang sempurna, tidak mempunyai fasiliti lengkap, ini boleh ditambah baik dan diwujudkan jika wang digunakan secara bijak tanpa pembaziran.
Apakah kata-kata anda dan harapan buat pengundi di Bentong?
RARA: Bentong mempunyai tempat istimewa di hati saya. Ketika berkhidmat di Ketari, saya telah jatuh hati dengan keindahan alam semula jadi dan penduduk di Bentong. Saya berharap dapat meneruskan khidmat di sini sebagai Ahli Parlimen anda.
Kepada pengundi di luar sana terutama di Parlimen Bentong, saya harap berikan peluang dan kepercayaan kepada saya sebagai calon anak muda serta wanita.
Saya akan berusaha keras dengan track rekod yang baik di Ketari, saya harap ia boleh dinilai oleh anda (pengundi) dan dibawa ke Parlimen untuk untuk membawa perkara lebih baik serta bermanfaat untuk penduduk Bentong.
Bentong adalah kawasan yang istimewa kerana terdapat kawasan pelancongan, perindustrian, pertanian tapi ia tidak dimanfaatkan sepenuhnya.
Jika saya diberikan peluang, saya akan lakukan banyak perkara untuk mewujudkan lebih banyak peluang ekonomi dan pekerjaan khususnya bagi anak muda serta manfaat penduduk Bentong.
Jadi berikan saya dan PH peluang. Satu undi anda sangat penting untuk saya dan dapat membantu PH menang seterusnya ke Putrajaya untuk membawa perubahan lebih baik.
Kita telah diberikan peluang sebelum ini namun tempoh 22 bulan masih belum mencukupi untuk membuktikan keupayaan sebenar PH.
Profail
Nama:Young Syefura Othman
Umur: 33 tahun
Tempat lahir: Lumut, Perak
Pendidikan:
- Sekolah Menengah Kebangsaan Bandar Baru Sungai Buloh
- Diploma Kejururawatan, Kolej Antarabangsa WindField, Kuala Lumpur.
Jawatan politik:
- Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP Kebangsaan
- Timbalan Ketua DAPSY Kebangsaan
- Penolong Setiausaha Kebangsaan Wanita DAP
- Ketua Angkatan Muda Harapan Pahang
- Setiausaha Publisiti DAP Pahang