'Anwar tak perlu buat cerita dongeng' - Mohd Rashid

Iklan
Penyandang Parlimen Batu Pahat, Mohd Rashid Hasnon beramah mesra dengan penduduk di Batu Pahat.

BATU PAHAT - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim dinasihatkan agar tidak membuat cerita dongeng mengenai pencalonan Datuk Mohd Rashid Hasnon sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Menurut Mohd Rashid, tiada adegan menangis merayu untuk mendapatkan jawatan itu seperti yang dijaja oleh Anwar dalam ceramah Jelajah Harapan di Batu Pahat kelmarin.

Iklan
Iklan

Mohd Rashid berkata, hakikatnya untuk mendapatkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu mendapat undi majoriti oleh ahli Parlimen yang bersidang.

Katanya, cadangan untuk beliau menjawat jawatan itu dicadangkan oleh Perdana Menteri ketika itu iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum undian dilakukan.

Iklan

"Apabila saya menerima undian paling banyak oleh ahli Parlimen, maka jawatan itu diserahkan kepada saya dan hakikatnya bukan dia (Anwar) yang menetapkan.

"Sudah-sudah lah nak menipu rakyat kerana orang sekarang bukan bodoh untuk dibawakan cerita dongeng kononnya dia paling berkuasa untuk menentukan semua keputusan kerana ketika itu dia tidak ada apa-apa jawatan selain ahli Parlimen," katanya.

Iklan

Mohd Rashid berkata demikian ketika mengulas kenyataan Anwar yang mendakwa beliau menangis merayu untuk mendapatkan jawatan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat daripada Anwar.

Ujarnya lagi, apa yang rakyat mahu dengar sekarang ini adalah apa yang ingin seorang wakil rakyat itu bawakan untuk mereka sekiranya terpilih dan bukannya membawakan cerita karut seperti itu.

"Hakikatnya, PH sudah tidak mempunyai isu atau janji kerana hasil penipuan mereka dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mana janji hanya tinggal janji semata-mata," katanya.