Pengeluaran getah asli Malaysia susut 5.9 peratus

Iklan
Pengeluaran getah asli Malaysia pada September disumbangkan sektor pekebun kecil sebanyak 87.9 peratus. - Foto Bernama

PENGELUARAN getah asli Malaysia susut 5.9 peratus kepada 35,460 tan pada September 2022 daripada 37,666 tan yang dicatatkan bagi Ogos 2022, menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Ia menjelaskan perbandingan tahun ke tahun turut menunjukkan penurunan 13.9 peratus.

Iklan
Iklan

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada September 2022 disumbangkan terutama oleh sektor pekebun kecil sebanyak 87.9 peratus berbanding sektor estet pada 12.1 peratus,” menurut DOSM dalam kenyataan pada Khamis.

Selain itu jumlah stok getah asli pada September 2022 berkurangan 5.7 peratus kepada 198,659 tan daripada 210,768 tan pada Ogos 2022.

Iklan

DOSM menambah, kilang pemproses getah menyumbang stok akhir sebanyak 90.7 peratus diikuti kilang pengguna getah (9.2 peratus) dan estet getah (0.1 peratus).

Jabatan itu memaklumkan eksport getah asli Malaysia berjumlah 54,542 tan pada September 2022, susut 9.4 peratus daripada 60,170 tan yang dicatatkan pada Ogos 2022.

Iklan

"China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli iaitu berjumlah 46.5 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada September 2022 diikuti Jerman (6.1 peratus), Brazil (4.0 peratus), Iran (3.8 peratus) dan Amerika Syarikat (3.1 peratus),” jelasnya.

Menurut DOSM, analisis perbandingan harga purata bulanan menunjukkan lateks pekat merekodkan penurunan iaitu 7.4 peratus (476.76 sen sekilogram pada September 2022; 514.73 sen sekilogram pada Ogos 2022).

Harga sekerap pula turun 12.6 peratus (465.86 sen sekilogram pada September 2022; 533.29 sen sekilogram pada Ogos 2022).

Sementara itu, prestasi suku ketiga 2022 menunjukkan pengeluaran getah asli meningkat 48.7 peratus kepada 110,969 tan daripada 74,635 tan pada suku kedua 2022, tambah jabatan itu.

DOSM menjelaskan prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku ketiga 2022 pula mencatatkan penyusutan 16.4 peratus berbanding suku ketiga 2021 pada 132,732 tan. - Bernama