Suspek yang berasal dari Melaka itu ditahan pada jam 9.20 malam semasa sedang memandu sebuah lori jenis Nissan membawa 165,550 batang rokok putih.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, bertindak atas risikan semasa Op Kontraban Pantai Timur anggota Briged Tenggara Pasukan Gerakan Am (PGA) telah menahan sebuah lori.
"Hasil pemeriksaan lanjut telah menjumpai 208 kotak besar dipercayai mengandungi rokok yang tidak bercukai.
"Tangkapan juga telah dibuat terhadap pemandu lori berkenaan dan kemudiannya dibawa ke Batalion 8 PGA Pengkalan Chepa untuk pemeriksaan lanjut," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, turut dirampas ialah wang tunai RM800 dan dua telefon bimbit.
Ujarnya, kes disiasat bawah Seksyen 135 (1) (D) Akta Kastam 1967 yang mana jika sabit kesalahan boleh dihukum dengan hukuman denda tidak kurang 10 kali ganda nilai atau RM100,000 yang mana lebih tinggi atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Muhamad Zaki berkata, walaupun negara dalam fasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) polis menerusi Op Wawasan akan memperketatkan penugasan di sempadan bagi memastikan kawalan berada pada tahap terbaik.
"Kami juga akan memperhebatkan lagi operasi membanteras sindiket penyeludupan rokok tidak bercukai serta lain-lain barangan menerusi Op Kontraban terutamanya di seluruh negeri Pantai Timur," katanya.