KUALA LANGAT - Geng curi kabel tembaga yang didalangi warga asing tumpas dalam serbuan berasingan Banting di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, lima lelaki terdiri daripada seorang warga Kemboja dan empat Indonesia ini diberkas sepasukan pegawai dan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Langat.
"Tangkapan pertama melibatkan seorang lelaki Indonesia iaitu dalang geng terbabit ditahan pada jam 2.20 petang.
"Soal siasat suspek kemudian membawa penahanan empat lagi suspek pada jam 5.10 petang di sekitar Banting," katanya dalam kenyataan pada Khamis.
Beliau berkata, hasil penahanan suspek terbabit telah merampas tiga guni berisi kabel tembaga yang telah dibakar, lima gulungan kabel, dua batang kabel tembaga selain sebakul berisi gumpalan kabel dianggar bernilai RM20,000.
Katanya, turut dirampas adalah satu unit pemotong logam dan sebuah kereta jenis Perodua Kancil. Rampasan turut melibatkan dua motosikal curi jenis Honda Alpha dan Honda RS150.
"Siasatan mendapati kumpulan ini dipercayai telah aktif sejak dua bulan lalu," ujarnya.
Tegasnya, kesemua suspek berusia 33 hingga 51 tahun kini direman empat hari untuk siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Sebelum itu, pada Sabtu polis telah menerima satu laporan daripada seorang peniaga iaitu lelaki tempatan mengatakan berlaku kes pecah stor simpanan kabel di Banting.