Mujahid isytihar harta RM2.54 juta, miliki dua kondo

Iklan
Mujahid

PARIT BUNTAR - Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof mengisytiharkan hartanya bernilai RM2.54 juta.

Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak berkata, nilai berkenaan membabitkan aset hartanah bernilai lebih RM2 juta dan kenderaan (RM251,700).

Iklan
Iklan

Beliau turut mengisytiharkan aset simpanan tunai yang secara keseluruhan bernilai RM153,587, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berjumlah RM96,000, emas (RM5,000) dan simpanan di Tabung Haji (RM643).

"Aset hartanah ini saya miliki bersama isteri merangkumi dua kondo dan satu rumah masing-masing di Parit Buntar, Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

Iklan

"Saya malu sebenarnya untuk isytiharkan harta ini kerana nilainya tidaklah besar berbanding orang lain.

"Apatah lagi saya sebagai bekas menteri agama hanya punya RM600 lebih sahaja simpanan di Tabung Haji," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Gerakan Induk PH di sini pada Khamis.

Iklan

Mujahid yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Parit Buntar turut mendedahkan pendapatan bulanannya sebanyak RM22,000.

Katanya, komitmen tanggungan setiap bulan pula berjumlah RM17,000.

"Saya bersyukur kerana dalam melaksanakan tugas di peringkat Parlimen, kita ada peruntukan yang diberi dan telah digunakan sebaiknya dengan memastikan peruntukan itu sampai kepada rakyat," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, semua calon Amanah pada PRU15 ini telahpun mengisytiharkan harta masing-masing kepada parti.

"Ketika mengisi borang pencalonan, salah satu daripada borang yang kita kena isi adalah isytihar harta.

"Bermakna di peringkat parti, kita dah ada semua maklumat itu, cuma bila nak isytihar secara umum, itu terpulang," katanya.

Pada PRU15 ini, Mujahid berdepan saingan empat penjuru bersama Imran Mohd Yusof yang mewakili BN, Mohd Misbahul Munir Masduki (PN) dan Rohijas Md Sharif (Pejuang).

Beliau menang pada PRU14 dengan majoriti 3,098 undi.