PORT DICKSON - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah menahan 12 pendatang asing tanpa izin (PATI ) kerana cuba menyeludup masuk ke negara ini melalui jalan yang tidak diwartakan di perairan Tanjung Rhu, Sepang, Selangor pada Rabu.
Pengarah Maritim Negeri Pengarah Melaka dan Negeri Sembilan, Kepten Maritim Iskandar Ishak berkata, kejadian itu disedari selepas terdapat pergerakan sebuah bot yang mencurigakan yang masuk dari perairan Indonesia menuju ke perairan Tanjung Rhu.
"Maritim yang sedang melaksanakan rondaan operasi telah menerima maklumat dari radar Sistem Pengawasan Laut (SWASLA) terdapat sebuah bot pancung yang meragukan.
"Maritim telah memintas bot tersebut sekitar jam 11.15 malam pada kedudukan lebih kurang 0.1 batu nautika barat daya pantai Tanjung Rhu," katanya dalam satu kenyataan kepada media Khamis.
Menurutnya, pemeriksaan ke atas bot berwarna kelabu tanpa nombor pendaftaran itu mendapati terdapat seramai 12 orang termasuk empat lelaki, tujuh wanita dan seorang kanak-kanak perempuan warga Indonesia berusia antara tiga hingga 49 tahun.
Ujarnya, siasatan mendapati, bot berkenaan tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah.
"Salah seorang yang ditahan memberitahu tekong telah terjun ke laut dan melarikan diri ke arah pantai berhampiran.
"Kesemua mereka termasuk bot telah ditahan dan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/1963 kerana masuk dan keluar dari Malaysia melalui jalan tidak dibenarkan atau jalan tidak diwartakan," katanya.
Jelasnya, jika sabit kesalahan mereka akan didenda tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.
Sementara itu katanya, berdasarkan statistik tahun 2022, Maritim Negeri Melaka dan Negeri Sembilan telah merekodkan sebanyak empat kes tangkapan di bawah Akta Imigresen dan Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran (ATIPSOM).