KUALA LUMPUR - Penggantungan operasi 16 stesen transit aliran ringan (LRT) dari Stesen Kelana Jaya hingga Ampang Park selama tujuh hari menyukarkan pergerakan pengguna malah ada yang mendakwa perlu berbelanja lebih.
Pelajar kolej swasta, Marissa Nicole Paul, 19, berkata, dia dan rakannya terpaksa menunggu bas perantara di stesen Pasar Seni untuk ke Subang dalam tempoh agak lama menyebabkannya terlewat untuk menghadiri kelas.
"Saya bergerak awal keluar dari rumah di Sentul, agak penat juga kena naik bas turun bas dan akhirnya kami terlambat ke kelas,” katanya ketika ditemui di hentian bas laluan Pasar Seni di sini pada Khamis.
Pekerja swasta, Norakmar Shakilla Razali, 31, pula berkata, dia lebih gemar menggunakan perkhidmatan LRT daripada bas perantara kerana terpaksa bersesak dengan orang ramai dan waktu perjalanan ke tempat kerja semakin lewat.
Menurutnya, perkhidmatan LRT menjimatkan masa dan sangat diperlukan lebih-lebih lagi jarak perjalanan ke tempat kerja di Seksyen 14, Shah Alam agak jauh dari rumahnya di Taman Datuk Keramat, Kuala Lumpur.
"Memang bimbang sebab lama sangat (tidak beroperasi) sampai tujuh hari. Tak tahu lah pukul berapa perlu keluar dari rumah, hari pertama (Selasa) pun sudah lewat ke pejabat selepas melalui perjalanan selama tiga jam," katanya.
Sementara itu, seorang pegawal keselamatan, Mohd Amin Amat, 60, yang perlu menunggu lebih 30 minit akibat kesesakan di Stesen Pasar Seni turut mengakui situasi di stesen itu pada awal pagi agak luar biasa dengan orang ramai.
Dia yang bekerja di Kota Damansara dan tidak mempunyai kenderaan berkata, keadaan di Stesen Pasar Seni agak sesak ketika waktu puncak tetapi sejak Selasa lebih berganda kerana masalah gangguan LRT.
Sementara itu, seorang pesara, Ramli Muhammad, 64, berkata, dia bukan sahaja rasa terbeban dengan kos tambahan perlu diberikan kepada anaknya untuk menggunakan perkhidmatan e-hailing, malah mengakui emosinya turut terganggu.
Menurutnya, anaknya yang kini sedang belajar di sebuah universiti di Shah Alam menggunakan kemudahan awam itu setiap hari namun kini perlu menggunakan perkhidmatan e-hailing bagi mengelak lewat tiba di pusat pengajian.
"Bila tren tak beroperasi memang saya perlu mengeluarkan perbelanjaan tambahan untuknya jadi saya harap pihak berkenaan dapat mengambil tindakan segera bagi mengatasi masalah ini," katanya ketika ditemui Sinar Harian di Pasar Seni.
LRT Laluan Kelana Jaya mengalami gangguan pada komponen elektronik sistem kawalan tren automatik (ATC), mengakibatkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen LRT Ampang Park sejak Selasa lalu.
Tinjauan Sinar Harian sejak jam 7 pagi di stesen LRT Pasar Seni bagaimanapun mendapati, keadaan agak terkawal tetapi berlaku sedikit kesesakan apabila orang ramai keliru dengan arahan dan terpaksa berasak-asak di dalam bas untuk menuju destinasi masing-masing.