GEORGETOWN - DAP tidak bercadang untuk mewajibkan semua calon mereka yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengisytiharkan harta.
Setiausaha Agungnya, Anthony Loke Siew Fook berkata, DAP tidak mempunyai polisi yang mana mewajibkan calon-calon pilihan raya perlu mengisytiharkan harta mereka.
Bagaimanapun, beliau berkata, sekiranya dipilih sebagai kerajaan Pusat, mereka akan melakukan pengisytiharan harta seperti yang diamalkan sebelum ini.
"Kita tiada polisi (isytihar harta) sebegitu dan jika kita dipilih sebagai kerajaan sebelum kita angkat sumpah kita akan isytiharkan,” katanya ketika diminta mengulas sama ada DAP akan mengikut jejak Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang melakukan pengisytiharan harta.
Anthony ditemui ketika turun membantu kempen calon DAP Parlimen Tanjong, Lim Hui Ying di Pasar Lebuh Cecil di sini, pada Khamis.
Hadir sama, Pengerusi DAP Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan Pengerusi DAP Kebangsaan, Lim Guan Eng.
Sementara itu dalam perkembangan lain, DAP meminta polis Perak menilai semula peraturan mendapatkan permit untuk program turun padang (walkabout) yang dikenakan terhadap semua calon di negeri itu.
Beliau berkata, peraturan itu hanya akan menyusahkan calon selain tidak termaktub dalam peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Perkara (mohon permit walkabout) ini mengarut, sudah lima pilihan raya saya bertanding dan tidak ada peraturan begini.
"Permit hanya dikenakan apabila kita adakan perhimpunan atau ceramah jadi kita minta polis Perak untuk menilai semula peraturan ini," katanya.
Sebelum ini polis Perak dalam satu kenyataan menetapkan calon atau ejen untuk mendapatkan permit daripada Ketua Polis Daerah sebelum program ‘walkabout’ dijalankan di negeri itu.
Menurut kenyataan itu, sekiranya calon didapati berkempen secara terbuka tanpa permit atau gagal mematuhi syarat permit, calon atau ejen tersebut telah melakukan kesalahan di bawah Subseksyen 24 (B) Akta 5.