Pekerja kilang buat laporan palsu elak denda hilang MyKad

Iklan
Polis

KUALA LANGAT - Gara-gara mahu mengelakkan denda ekoran kehilangan kad pengenalan, seorang pekerja kilang diberkas selepas dipercayai membuat laporan palsu mendakwa disamun dalam kejadian 2 November lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, suspek merupakan seorang wanita berumur 25 tahun.

Iklan
Iklan

"Laporan dibuat suspek mendakwa dirinya disamun seorang lelaki yang menaiki motosikal di jalan berhampiran Tasik Bandar Sungai Emas, Banting.

"Siasatan yang dijalankan mendapati suspek membuat laporan palsu berkaitan kejadian dan suspek diberkas dan didakwa di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan," katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Iklan

Katanya, sehingga kini pihaknya menerima tiga laporan palsu berkaitan kehilangan kad pengenalan dengan dakwaan menjadi mangsa samun.

"Antara faktor adalah disebabkan ingin mengelakkan dari dikenakan denda oleh pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana kehilangan kad pengenalan," katanya.

Iklan

Menurutnya, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat laporan palsu kerana ia merupakan satu kesalahan.

"Tindakan tegas boleh dikenakan kepada mereka yang membuat laporan palsu seperti mana di bawah peruntukan undang-undang," katanya.