SHAH ALAM - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) mengarahkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah diaktifkan susulan amaran cuaca buruk di Johor, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
Nadma dalam satu kenyataan pada Khamis, turut meminta semua pihak yang terlibat meningkatkan tahap kesiapsiagaan bagi menghadapi bencana yang bakal berlaku terutama di kawasan yang berisiko tinggi.
"Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pada jam 2.10 petang (Khamis) telah mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat jingga (buruk) dan peringkat kuning (waspada) di keempat-empat negeri itu.
"Sehubungan itu, jawatankuasa pengurusan bencana di peringkat negeri dan daerah perlu memastikan setiap pusat pemindahan dilengkapi dengan keperluan asas dan pos kawalan tempat kejadian (PKTK) mempunyai segala aset pengoperasian yang mencukupi serta berada di dalam keadaan yang baik dan bersedia untuk digunakan.
"Nadma melalui Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC) akan sentiasa memantau situasi parameter maklumat teknikal dengan kerjasama pelbagai agensi teknikal. NDCC juga sentiasa dalam kesiapsiagaan menerima maklumat bencana, bantuan pengurusan dan pengoperasian bencana dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, MetMalaysia mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat jingga di Pahang (Rompin) dan Johor (Mersing) sehingga Jumaat.
Amaran hujan berterusan peringkat kuning pula dijangka berlaku di Kelantan, Terengganu, Pahang (Kuantan dan Pekan) serta Johor (Segamat, Kluang, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru) sehingga Jumaat.