PASIR GUDANG - Calon Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berhasrat menjadikan daerah ini bebas daripada banjir kilat terlibat sekiranya dipilih semula pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Penyandang kerusi Parlimen Pasir Gudang itu memberitahu, antara kawasan yang masih lagi dilanda banjir kilat ialah di Kampung Belantik bersebelahan Kampung Majidee di Johor Bahru.
Menurut beliau, banjir kilat sering berlaku di kampung terlibat setiap kali air pasang dan hujan lebat kerana kedudukan Pasir Gudang yang bersebelahan Singapura begitu hampir dengan laut.
"Semasa Pakatan Harapan (PH) menjadi kerajaan di Johor kita sudah baiki masalah pintu air yang menjadi punca banjir.
"Banjir di Kampung Belantik dan Kampung Ubi tidak banjir lagi untuk sementara, namun anak sungai yang terdapat di Kampung Belantik perlu didalamkan.
"Apabila kerajaan PH tumbang di Johor, kampung tersebut terabai begitu sahaja dan nasib mereka tidak dipedulikan," katanya ditemui pemberita ketika berkempen di KipMall Masai di sini pada Khamis.
Beliau berkata, masalah berkenaan boleh diselesaikan dengan kerjasama Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Majlis Bandaraya Pasir Gudang (MBPG) serta Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB).
Hassan juga mahu menyelesaikan masalah sama di Kampung Sepakat, Masai yang berpunca dari Sungai Masai selain di Kampung Saujana Baru dan Kampung Pandan yang juga berdekatan sungai.
"Setiap kali hujan lebat air Sungai Masai akan melimpah dan berlaku banjir di Kampung Sepakat dan pekan Masai. Bagi menyelesai masalah ini wakil rakyat, pihak berkuasa tempatan (PBT) dan pihak berkenaan perlu duduk berbincang," katanya.
Sepanjang kira-kira empat tahun menjadi Ahli Parlimen Pasir Gudang, beliau lega kerana dapat menyelesaikan masalah itu di Kampung Sungai Rinting D yang sebelum ini menjadi punca banjir kilat di Lebuhraya Pasir Gudang.
Jelasnya, kedudukan kampung berkenaan terletak di kawasan rendah dan sebelum ini setiap kali air pasang dan hujan lebat, akan berlaku banjir kilat yang luar biasa sekali gus air sungai berdekatan akan melimpah hingga masuk ke kawasan lebuh raya berkenaan.
"Apa yang kita lakukan dengan kerjasama JPS adalah meluruskan sungai tersebut yang bengkang bengkok termasuk mendalam dan melebarkannya serta membersihkan tanah runtuh yang menjadikan aliran air tidak lancar dan masalah ini dapat diatasi.
"Namun saya masih tidak puas hati dan bimbang setiap kali hujan lebat kerana saliran sungai itu masih perlu dibaiki. Banjir kilat di lebuh raya itu sebelum ini mengakibatkan jalan terputus dan kenderaan rosak," katanya.
Sekiranya dipilih semula sebagai Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan akan berusaha dengan pihak berkaitan untuk mendalamkan sungai tersebut supaya masalah berkenaan dapat diatas.
Bekas Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor itu juga merasa sedikit lega dengan permasalahan banjir di Kampung Masjid, Masai dan Kampung Plentong Tengah, Plentong sebelum ini dapat diselesaikan.
"Kerja-kerja mendalamkan sungai bersebelahan Kampung Masjid dilakukan dan masalah pembetung tersumbat sudah diatasi di Kampung Plentong Tengah. Banjir tidak berlaku lagi dan kita berterima kasih kepada JPS serta semua pihak terlibat," katanya.
Tambahnya, masalah tersebut perlu diatasi apatah lagi mereka yang menjadi mangsa banjir adalah golongan B40 selain pada masa sama menjejaskan imej dan status Bandar Raya Pasir Gudang.