SHAH ALAM - Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menegaskan partinya sentiasa terbuka untuk memberi ruang kepada mana-mana pemimpin yang ingin menawarkan diri bagi menerajui parti itu.
Tegasnya, perkara berkenaan juga menjadi amalan biasa dan ia dikuatkan lagi dengan ‘rekod’ UMNO merupakan parti paling ramai mempunyai presiden.
Bagaimanapun dakwanya, di zaman Tun Dr Mahathir Mohamad dan Datuk Seri Anwar Ibrahim berada di dalam UMNO, ahli dihalang daripada bertanding jawatan nombor satu dan dua parti.
"Dari Datuk Onn Jaafar, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr Mahathir, Pak Lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi), DSNR (Datuk Seri Najib Tun Razak) dan sekarang Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, lapan orang semuanya. Masa depan parti ditentukan oleh ahli partinya.
"Parti lain, banyak orang yang sama. Kalau berubah pun hanya di kalangan isteri atau anak beranak,” katanya dalam hantaran di Facebooknya pada Khamis.
Pada Rabu, calon Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menyatakan hasrat untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi Perdana Menteri satu hari nanti.
Menurut Menteri Kesihatan itu, beliau berdiri sebagai calon BN di Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini bertujuan ‘membunuh’ dirinya sendiri, sebaliknya ia adalah satu cabaran yang sedang dipikulnya.
Ahmad Shabery turut mendakwa, ketika Dr Mahathir dan Anwar menerajui parti sebagai pemimpin nombor satu dan dua, banyak resolusi dibuat supaya tidak ada pertandingan presiden dan timbalan presiden, selain turut memperkenalkan peraturan yang menyulitkan.
Namun katanya, ketika ini pucuk pimpinan tidak lagi di kalangan sekitar 1,400 orang perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO (PAU) tetapi turun hingga hampir 500,000 wakil di peringkat akar umbi, tidak seperti mana zaman Dr Mahathir yang kini menjadi Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) dan Anwar yang kini menerajui Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Kini semua halangan ini dah tak ada. Menjadikan UMNO parti paling terbuka dan paling dinamik.
"PKR ada beran (berani) kalau sesiapa nak tukar presidennya? Tanya juga Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau yang lainnya,” katanya.