[VIDEO] Koroner lawat pusat jagaan 'Baby Syifaa'

Iklan
Surita (berbaju biru) dan pihak yang terlibat dalam prosiding inkues hari kedua 'Baby Syifaa' dilihat keluar daripada pusat jagaan tersebut.

SEREMBAN - Koroner Mahkamah Seremban dan semua pihak yang terbabit dalam prosiding hari kedua inkues bagi mengesan punca kematian seorang bayi perempuan, Nour Rania Asyifaa Yuseri atau ‘Baby Syifaa’ melawat lokasi pusat jagaan bayi berkenaan di Sendayan di sini pada Khamis.

Koroner, Datin Surita Budin tiba di pusat jagaan itu kira-kira jam 2.50 petang dan meninggalkan lokasi jam 3.15 petang.

Iklan
Iklan

Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pendakwa Raya, Nor Azizah Mohamad dan Zahida Zakaria dan peguam mewakili keluarga Baby Syifaa iaitu, Hafiz Norkhan dan Gaithri Thomas.

Selain itu turut kelihatan peguam pemerhati pengasuh, Norliana Ali Othman.

Iklan

Ibu bapa Baby Syifaa, Yuseri Yusoff, 39 dan Anida Idrus, 41, turut hadir ke lokasi bersama rakan-rakan mereka.

Sebelum itu pada prosiding di Mahkamah Koroner Seremban, ditunjukkan rakaman video lakonan semula pengasuh taska berkenaan bagaimana kronologi kejadian menimpa Baby Syifaa.

Iklan

Surita memberitahu mahu melawat lokasi kejadian bagi mengetahui jarak antara tandas dan dapur serta bagaimana kejadian boleh berlaku dalam tempoh setengah jam.

Pada prosiding berkenaan, dua saksi dipanggil iaitu Lans Koperal, Nor Fazila Yaacob yang merupakan saksi ke-13 dan Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kanak-Kanak dan Perintah Khidmat Masyarakat Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM) Negeri Sembilan, Rohaizal Umar yang merupakan saksi ke-14.

Noor Fazilah memberitahu dia bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seremban dan berperanan sebagai jurugambar sejak tahun 2019.

Dalam siasatan kes bayi berkenaan, Nor Fazilah berperanan sebagai jurugambar kes dan turut merakam simulasi bagaimana kejadian berlaku.

Anggota polis itu berkata, untuk siasatan kes, dia telah mengambil 18 keping gambar di pusat jagaan Baby Syifaa dan lapan keping gambar di Klinik Kesihatan Sendayan sebelum disimpan di dalam cakera padat.

Bagaimanapun ketika ditanya peguam adakah dia mengetahui lokasi sebenar kematian Baby Syifaa, dia memberitahu tidak pasti dan hanya diarah ke pusat jagaan oleh pegawai penyiasat untuk mengambil gambar.

Anida (tengah) tidak dapat menahan sebak sebaik sampai di pusat jagaan Allahyarham 'Baby Syifaa'.

Sementara itu Rohaizal memberitahu, pihaknya menerima permohonan daripada pegawai penyiasat untuk menyemak status pusat jagaan itu.

"Pada hari kejadian, pihak jabatan telah membuat semakan dan mendapati pusat jagaan itu tidak pernah memohon dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk pengoperasian dan pendaftaran," katanya.

Prosiding inkues sepatutnya akan bersambung pada 17 November depan, namun Nor Azizah memohon tarikh tambahan dan mahkamah menyerahkan kepada pihak pendakwaan dan pembelaan untuk menentukan tarikh yang sesuai sebelum 17 November.

Media sebelum ini melaporkan Baby Syifaa ditemui tidak sedarkan diri, selepas lehernya dipercayai tersangkut pada kain buaian di pusat asuhan itu pada kira-kira 3 petang.

Kejadian berlaku selepas mangsa dikatakan ditidurkan dalam buaian di sebuah bilik oleh pengasuhnya.