Teruskan inisiatif perkukuh perundangan negara: Wan Junaidi

Iklan
Wan Junaidi - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berharap inisiatif yang diusahakan agensi di bawah portfolionya dapat diteruskan oleh peneraju kementerian itu selepas Pilihan Raya Umum ke-15.

Melalui kenyataan bagi menerangkan status tadbir urus portfolio beliau, Wan Junaidi berkata, masih terdapat pelbagai tugas yang belum diselesaikan antaranya pewujudan semula Kementerian Undang-Undang.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, cadangan bagi memastikan kecekapan dan pelaksanaan semua agenda perundangan telah dikemukakan kepada Perdana Menteri dan kini dalam tindakan Agensi Pusat.

Katanya, Akta Perkhidmatan Parlimen dan pindaan kepada Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 bagi tujuan transformasi Parlimen pula sedang dalam tindakan pihak Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang dan Jabatan Peguam Negara.

Iklan

"Susulan daripada pindaan Perlembagaan yang merangkumi peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti, pindaan juga perlu dibuat terhadap Perlembagaan bagi Larangan Ahli Dewan Negara Bertukar Parti,” katanya.

Wan Junaidi juga berkata, pindaan Perlembagaan Persekutuan juga perlu dilakukan bagi mengehadkan tempoh perkhidmatan Perdana Menteri kepada 10 tahun seperti yang dirancang sebelum ini.

Iklan

Bagi Sistem Keadilan Jenayah, beliau berkata, pindaan kepada tujuh akta yang memansuhkan hukuman mati mandatori dan menetapkan budi bicara mahkamah perlu dibentangkan di Parlimen dalam masa terdekat.

Katanya, peruntukan dalam Kanun Keseksaan dan Kanun Tatacara Jenayah berkaitan jenayah antimenghendap juga perlu dibentangkan di Parlimen.

Wan Junaidi berkata, penambahbaikan Perjanjian Malaysia 1963 perlu dilaksanakan dengan mengkaji persempadanan semula kawasan Parlimen bagi menambah kerusi Sarawak dan Sabah ke nisbah semasa perjanjian itu dan meminda Perlembagaan Persekutuan dengan memasukkan pelancongan ke dalam senarai bersama (kuasa Persekutuan dan Negeri).

Katanya, perkara lain dalam tindakan agensi berkaitan termasuk Rang Undang-Undang Pendanaan Politik, Rang Undang-Undang Pengurusan Harta Yang Disita dan Dilucut hak, transformasi kepada undang-undang insolvensi, penambahbaikan sistem pilihan raya dan kajian pengurangan kos pilihan raya kecil/negeri/umum, Rang Undang-Undang Kebebasan Maklumat dan Kajian Penetapan Badan Kawal Selia Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan Suruhanjaya Pilihan Raya. - Bernama