Harimau Malaya mampu mengaum di Hanoi

Iklan
Cheng Ho (tengah) yakin pemain Harimau Malaya mampu menghasilkan keputusan positif menjelang aksi final kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Sabtu ini.
KETUA Jurulatih Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe percaya pasukannya mampu menebus kekecewaan pada perlawanan akhir kedua Piala AFF Suzuki 2018 di Hanoi, Sabtu depan, setelah sekadar seri 2-2 di tempat sendiri dalam aksi final pertama malam semalam.

Cheng Hoe mengakui anak buahnya bermula baik dalam tempoh 10 minit perlawanan malam ini, sebelum hilang tumpuan sekali gus membolehkan Vietnam menjaringkan dua gol selepas 25 minit perlawanan, namun beliau optimis skuad negara mampu meraih keputusan positif pada aksi timbal balik di Hanoi itu.

"Secara keseluruhan kita bermain dengan baik tetapi kita membenarkan dua jaringan mudah pasukan lawan. Kita bermula baik sebelum pemain hilang tumpuan. Namun kita masih mempunyai 90 minit dan saya positif dan optimis untuk perlawanan di Hanoi,” katanya pada sidang media selepas perlawanan itu.

Harimau Malaya bangkit daripada ketinggalan dua gol, sebelum pemain pertahanan Shahrul Mohd Saad menanduk masuk bola untuk gol pertama diikuti jaringan menerusi sepakan percuma menarik diambil Muammad Safawi Rasid untuk menyamakan kedudukan 2-2.

Sementara itu, Ketua jurulatih Vietnam Park Hang-Seo kecewa dengan keputusan perlawanan malam ini, walaupun pasukannya berjaya menjaringkan dua gol di tempat lawan.

"Saya agak kecewa dengan keputusan seri ini di tempat lawan, dan kita perlu melakukan lebih baik di Hanoi,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Safawi mengakui perlawanan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil itu merupakan aksi paling berintensiti tinggi bagi skuad negara sepanjang kempen Piala AFF Suzuki edisi kali ini.

"Saya merasakan perlawanan ini sengit dan kita juga bolos awal, jadi itu memberi sedikit tekanan.

"Tetapi kami berjaya menyamakan kedudukan dan saya gembira menjaringkan gol kedua hasil bantuan rakan sepasukan. Kita ada 90 minit lagi untuk cuba melakukan yang terbaik dan dapatkan keputusan positif,” katanya. - Bernama