PRU15: Perak pertimbang cuti khas 18 November

Iklan
Saarani (tiga dari kanan) bertemu pengundi dan jentera parti di Himpunan Solidariti BN Gopeng di Bilik Gerakan N44, Kampung Meranti, Changkat Larang pada Khamis.

GOPENG - Kerajaan Negeri Perak sedang mempertimbangkan cuti khas pada 18 November ini iaitu sehari sebelum hari mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, memandangkan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dibubarkan, kerajaan dipimpinnya ketika ini tidak mempunyai kuasa mengumumkan perkara tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau bagaimanapun sedang mendapatkan pandangan daripada Penasihat Undang-Undang Negeri sama ada menteri besar atau Setiausaha Kerajaan Negeri akan mengumumkan perkara tersebut.

"Kita sedang mempertimbangkan cuma kita nak pastikan siapa orang yang ada locus standi nak umumkan sebab berbeza dengan Selangor ada menteri besar sebab DUN belum bubar. Perak ini DUN sudah bubar. Adakah kerajaan sementara boleh umumkan?

Iklan

"Tapi kecenderungan untuk itu (cuti umum) ada. Mungkin hari Isnin (akan diumumkan)," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Himpunan Solidariti BN Gopeng di Bilik Gerakan N44, Kampung Meranti, Changkat Larang di sini pada Khamis.

Menurutnya, kecenderungan untuk memberikan cuti umum itu bagi membolehkan orang ramai pulang ke kampung membuang undi.

Iklan

Tiga negeri iaitu Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang sebelum ini sudah pun mengumumkan bahawa 18 November depan sebagai cuti khas sehari sebelum pengundian pada PRU15.

Selangor dan Negeri Sembilan antara negeri terawal mengisytiharkan 18 November sebagai hari kelepasan am negeri bagi membolehkan warga luar bandar pulang ke negeri masing-masing untuk mengundi.

Kesemua tiga negeri itu merupakan negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan (PH) yang tidak mengadakan Pilihan Raya Negeri serentak dengan pilihan raya persekutuan kerana mahu bersiap sedia berdepan musim tengkujuh.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan akan mengkaji cadangan mengisytiharkan cuti umum khas pada 18 November ini.