MOHD Manshahar Abdul Jalil menyerahkan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) dan Kesatuan Olahraga Malaysia (KOM) mengenai statusnya sebagai ketua jurulatih olahraga kebangsaan.
Manshahar menjelaskan, ketika ini beliau menjalankan tugas seperti biasa dan belum menerima sebarang perkembangan mengenai lanjutan kontraknya.
"Setakat ini saya tidak dengar apa-apa perkembangan baharu lagi.
"Kalau kontrak ditawarkan maka saya akan tandatangani, tetapi kalau tiada, saya terpaksa lepaskan jawatan.
"Saya tidak pasti lagi dengan kedudukan pada tahun depan, saya tunggu sahajalah (sebarang) keputusan daripada MSN dan persatuan (KOM),” katanya.
Manshahar mula mengemudi barisan atlet olahraga negara pada Julai 2019.
Beliau sebelum itu merupakan jurulatih lompat bergalah kebangsaan dan pernah melatih atlet seperti Iskandar Alwi dan juga Roslinda Samsu.
Dalam pada itu, Pengarah Bahagian Atlet Majlis Sukan Negara (MSN), Jefri Ngadirin berkata, kedudukan Manshahar dijangka diketahui dalam masa dua minggu lagi.
Beliau berkata, mana-mana jurulatih yang menjalankan tugas dengan baik dan sukan di bawah seliaan mereka tidak sepatutnya risau dengan isu penyambungan kontrak.
"Semua kontrak jurulatih yang menunjukkan prestasi baik akan disambung.
"Kami akan bincangkannya dalam Jawatankuasa Kerja pada 21 November. Perbincangan secara terperinci melibatkan kontrak atlet dan jurulatih,” katanya. - Stadium Astro