KUALA LUMPUR - Beri peluang Perikatan Nasional (PN) mentadbir Malaysia selama satu penggal pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) untuk dinilai, kata Timbalan Pengerusi PN, Tan Sri Abdul Hadi Awang.
Abdul Hadi yang juga Presiden Pas berkata, PN perlu diberi peluang demi masa depan yang baharu bagi Malaysia kerana rekod prestasi gabungan parti itu bersih daripada sebarang salah laku.
Beliau turut memberi contoh sepanjang Pas mentadbir kerajaan Kelantan, Terengganu dan Kedah, negeri itu terbukti bebas daripada sebarang salah laku termasuk kes rasuah.
"Bukan payah (susah) sangat. Kami tiada rekod menipu rakyat,” katanya pada majlis santai petang bersama calon PN Parlimen Titiwangsa Dr Rosni Adam di Desa Pandan di sini pada Khamis.
Pada PRU15, Parlimen Titiwangsa mempunyai seramai 80,747 pengundi berdaftar yang layak. - Bernama