PENGENDALI skuad hoki kebangsaan, A Arul Selvaraj menyifatkan kejayaan menjuarai Piala Sultan Azlan Shah 2022 buat kali pertama sebagai ‘hadiah bermakna’ kepada penyokong hoki tanah air yang sentiasa memberikan sokongan kepada skuad Speedy Tigers.
Arul Selvaraj berkata, kejayaan itu juga sentiasa dinanti-nantikan oleh pemain, barisan jurulatih serta pihak pengurusan yang selama ini dahagakan kejuaraan.
"Itu sebab sebelum memulakan suku ketiga perlawanan saya pesan kepada pemain supaya bermain mati-matian dan jangan sesekali kita tumpas di hadapan beribu penyokong yang hadir malam ini. Mereka berjuang habis-habisan untuk menamatkan badi kekalahan di final," katanya ketika ditemui selepas tamat perlawanan.
Pada aksi final yang berlangsung di Stadium Sultan Azlan Shah itu, Malaysia menewaskan Korea Selatan 3-2 sekali gus menamatkan penantian 39 tahun untuk bergelar juara.
Speedy Tigers kemudian membuat kejutan apabila menjinakkan Mesir 4-1 sebelum berpesta gol pada perlawanan keempat menentang Afrika Selatan dengan keputusan 7-2 sebelum menduduki carta kedua liga apabila menumpaskan Jepun 4-2 untuk layak ke final.
Kemenangan pada aksi final itu sekali gus menamatkan penantian 39 tahun Speedy Tigers untuk bergelar juara selepas kali terakhir layak ke peringkat akhir pada 2014 namun tumbang kepada Australia 8-3.
Kejayaan dilakar skuad kendalian Arul Selvaraj itu juga berjaya membalas dendam atas kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan yang mengecewakan impian Malaysia merangkul Piala Asia di Jakarta, Mei lepas. - Bernama