KUALA LUMPUR - Datuk Salahuddin Ayub mengakui terlalu sibuk dengan tanggungjawabnya dan tiada masa untuk mengambil tahu desas-desus yang mengaitkan beliau bagi mengisi kekosongan kerusi Menteri Besar Johor bagi menggantikan Datuk Osman Sapian.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani yang juga ADUN Simpang Jeram itu memberitahu, beliau hanya maklum bahawa Osman meletak jawatan sebagai Menteri Besar Johor namun, tidak sempat untuk mengambil tahu khabar angin berkenaan nama-nama yang bakal mengisi jawatan berkenaan.
"Saya terlalu sibuk di Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menjalankan tugas yang diamanahkan, terlalu banyak kerja di MOA saya perlu lakukan.
ARTIKEL BERKAITAN: PM tolak cadangan Muhyiddin dilantik MB Johor
"Saya tak sempat fikir fasal riuh rendah di luar itu, saya hanya dengar tapi sebab banyak kerja di kementerian (saya) tak ambil peduli pun... betul, saya tak mendengar. Cuma dengar Osman letak jawatan. Desas-desus (lain) saya tak dengar, sibuk dengan tugas saya,” katanya ketika ditemui media di lobi Parlimen, hari ini.
Selepas PRU14 tahun lalu, Ahli Parlimen Pulai itu pernah berkata, beliau menyedari ramai pihak yang kecewa apabila dirinya tidak dilantik sebagai Menteri Besar Johor.
Timbalan Presiden Amanah itu bagaimanapun berkata, semua pihak harus faham pelantikan jawatan menteri besar tertakluk kepada budi bicara dan hak mutlak Sultan Johor, seperti yang tercatat dalam undang-undang tubuh Kerajaan Johor.
Hari ini, Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menolak cadangan UMNO Johor supaya Tan Sri Muhyiddin Yassin dilantik sebagai menteri besar negeri itu yang baharu, dengan mengatakan bahawa Menteri Dalam Negeri tersebut mempunyai tugas lain yang perlu dilaksanakan.
"Parti yang menang (PH) menamakan menteri besar bukan yang kalah... yang kalah duduk diam,” katanya ketika ditanya sama ada beliau akan menimbang cadangan UMNO Johor supaya Muhyidddin, yang berpengalaman sebagai menteri besar dan Timbalan Perdana Menteri memimpin kerajaan negeri itu.