KOTA BHARU - Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim berjanji akan membawa masuk lebih ramai pelabur asing untuk melabur di negara ini sekirannya beliau menjadi Perdana Menteri Malaysia ke-10 pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Anwar berkata, isu ekonomi menjadi keutamaan PH jika diberi mandat oleh rakyat untuk membentuk kerajaan baharu selepas pilihan raya itu.
"Kita ada kenalan, ada pengalaman, hubungan baik dengan China, India, Arab, Turkiye tentunya, dengan Indonesia, Amerika Syarikat dan Eropah.
"Insya-ALLAH dalam masa singkat, sekiranya diberi mandat, saya nak panggil semua kawan-kawan di seluruh dunia tolong bagi perhatian untuk sama-sama melabur di Malaysia," katanya ketika bertemu pengundi di Padang Tembak, Pengkalan Chepa di sini, pada Khamis.
Menurut beliau, pada PRU kali ini, PH bukan hanya berhasrat menukar Perdana Menteri atau kerajaan, malah bertekad untuk merubah sistem dan struktur politik dalam negara yang didakwa sudah lama rosak.
"Jerit 'hidup Melayu, hidup Islam' tetapi sistemnya sama juga. Nasib rakyat tidak terbela, rasuah masih menular bahkan judi bertambah dan pada masa sama di kampung jerit pula Allahuakhbar," katanya.
Anwar berkata, masalah yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan harga barangan makanan perlu diselesaikan oleh pemimpin negara ini.
"Masalah bawang, ayam dan daging naik harga.
"Warak, zuhud, tak putus Quran, tak tinggal tahajud itu soal akhlak dan ibadat yang jadi kewajipan mengangkat martabat, tetapi seorang khalifah kalau orang tak cukup makan mesti diselesaikan," katanya.
Anwar sebelum ini berjanji bahawa perkara pertama yang akan dilakukan adalah memotong gaji dan elaun Perdana Menteri jika beliau dilantik menjawat jawatan itu.
Beliau turut berjanji akan mengurangkan bilangan Jemaah Menteri serta gaji dan elaun mereka pada kadar jauh lebih rendah daripada gaji yang diterima menteri-menteri kini.