SEMINGGU lagi rakyat Malaysia bakal memilih calon pemimpin negara yang mereka harap dapat mengubah Malaysia ke arah lebih baik.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), untuk pertama kalinya pengundi berusia 18 tahun boleh membuat keputusan mereka memilih calon pemimpin yang diyakini boleh membawa perubahan kepada negara.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sebelum ini memaklumkan, umur kelayakan pengundi 18 tahun ialah semua warganegara yang mencapai umur 18 tahun dan ke atas layak didaftarkan sebagai pemilih.
Apa agaknya harapan calon pilihan raya apabila golongan ini yang dianggarkan seramai 5.8 juta orang bakal didaftarkan sebagai pengundi dan boleh membuat keputusan dalam PRU15.
Rasanya mereka masih tidak boleh mendabik dada kerana ada penganalisis politik yang meramalkan orang muda ini mengundi berdasarkan pilihan keluarga.
Maka kita tidak boleh menolak gurauan beberapa pihak bahawa usia ini lebih yakin memilih kekasih tetapi bukan pemimpin.
Ada juga usikan yang kedengaran usia 18 tahun lebih suka mengiyakan dan menjadi 'tukang angguk' sahaja.
Gurauan ini mungkin betul kerana bukan semua parti mereka kenal malah calon pun belum tentu pernah bersembang semeja.
Lebih menyedihkan ada yang masih menunggu 'surat' atau emel daripada agensi bertanggungjawab bagi pengesahan boleh mengundi sedangkan nama mereka disenaraikan secara automatik daftar pemilih.
Tidak dinafikan ada yang serius untuk mengundi dan matang membuat pilihan.
Mereka juga akan menjadi sebahagian yang akan memberi kemenangan kepada calon.
Orang muda seperti inilah yang boleh diharap memenuhi ruang peti undi dengan penuh berhemah.
Penganalisis politik turut berpendapat, jumlah pengundi muda yang mewakili 51 peratus daripada keseluruhan pengundi pada PRU15, menjadikan faktor calon atau parti semata-mata bukan penilaian utama mereka.
Sebelum ini, penganalisis Sosiopolitik Univerisiti Malaya (UM), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berkata, situasi ini menjadikan faktor penentu kepada pola pengundian pada PRU15 semakin sukar diramal.
Justeru katanya, calon dan parti politik bertanding mesti memahami hasrat dan kehendak pengundi masa kini dengan mengelak kempen yang boleh menyebar kebencian serta fitnah.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian pula berkata, kebanyakan pengundi muda ini masih 'atas pagar' untuk membuat pilihan.
Pemikiran ini turut menjadi faktor mereka tidak keluar mengundi.
Apa pun, kita perlu fikirkan juga bahawa seramai 248 daripada 949 calon Parlimen berusia 21 hingga 39 tahun yang mungkin memberi semangat kepada pengundi muda keluar memberi sokongan.
Jika ada dalam kalangan calon yang menjadi 'idola' dan mempunyai karakter boleh diteladani, pengundi ini tidak melepaskan peluang mengundi.
Pengundi muda berusia 18 hingga 21 tahun juga diakui tidak mempunyai kecenderungan terhadap politik ketika ini.
Keadaan politik semasa turut menyaksikan rakyat termasuk golongan tersebut bosan dengan retorik politik dalam negara.
Kita juga perlu mengambil kira sejauh mana golongan ini memahami manifesto yang diuar-uarkankan pemimpin parti politik ketika berkempen.
Tidak guna berbicara mengenai peningkatan ekonomi jika perkara itu sudah diuar-uarkan dalam beberapa pilihan raya negeri sebelum ini tetapi tiada perubahan berlaku. Semua itu boleh dinilai.
Parti politik yang bertanding kini sudah mengemukakan manifesto mereka iaitu Perikatan Nasional (PN) dengan Prihatin, Bersih dan Stabil, Barisan Nasional (BN) pula dengan Pelan Amal dan Usaha (Padu) manakala Pakatan Harapan dengan Tawaran Harapan.
Orang muda perlu diberi kefahaman dan 'dihidangkan' dengan kelainan.
Susah juga kalau tengok manisfeto macam teliti soalan peperiksaan. Entah-entah ditinggal begitu sahaja tanpa jawapan.
*Aswany Omar ialah Wartawan Sinar Harian