BANGI - Calon Pakatan Harapan (PH) Parlimen Bangi, Syahredzan Johan menegaskan tanggapan sesetengah pihak bahawa DAP meletakkan dirinya bertanding di kawasan itu bagi menarik undi Melayu adalah tidak tepat.
Katanya, jika dilihat penyandang kerusi Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming juga mendapat undi Melayu dalam pilihan raya sebelum ini walaupun berbangsa Cina.
"Tapi kalau kita tengok tempat ini memang dari dahulu Dr Ong (Kian Ming) telah mendapat sokongan daripada kaum Melayu. Jika dilihat pada tahun 2018, dia mendapat majoriti 68,000. Jadi pada saya tidak begitu tepatlah kenyataan itu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Khamis.
Jelas Syahredzan, DAP meletakkan beliau di Bangi berkemungkinan kerana boleh membawa sesuatu yang baru kepada landskap politik Malaysia.
"Dan juga saya boleh mewakili di Parlimen. Mungkin itu antara faktor-faktor,” katanya.
Dalam pada itu, Syahredzan berkata, antara isu yang diambil perhatian olehnya di Bangi adalah mengenai kesesakan lalu lintas, banjir di beberapa tempat dan pengangkutan awam.
Beliau juga berhasrat menjadikan kawasan bandar itu serba cekap dan terkehadapan dari segi jasmani dan rohaninya.
"Proses urbanisasi kawasan itu akan diberikan perhatian supaya ia membangun dengan sihat dan seimbang.
"Antara perkara yang terangkum dalam urbanisasi itu adalah pengangkutan awam dan keterhubungannya, dari mula hingga akhir serata Bangi, serta kualiti kehidupan seluruh penduduk," katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai cara menarik pengundi berumur 18 tahun dan pertama kali mengundi, Syahredzan berkata, terdapat beberapa cara yang dilakukan beliau seperti mendampingi mereka menerusi media sosial.
"Apabila media sosial itu digunakan dengan baik, ia akan dapat memperkenalkan diri kita kepada pengundi melalui cara yang berbeza daripada secara berhadapan,” jelasnya.