'Saya dizalimi!' - Anwar Ibrahim

Iklan
Anwar - Foto FB Anwar Ibrahim

KOTA BHARU -"Saya dizalimi!”

Itu reaksi Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap dakwaan fitnah dilemparkan Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria yang mengatakan bahawa Presiden PKR itu akan mempromosikan agenda lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT), membenarkan perkahwinan sejenis serta menyokong isu komunis.

Iklan
Iklan

Anwar ketika berucap di hadapan lebih 1,000 hadirin di Padang Tembak, Pengkalan Chepa, di sini, pada Khamis berkata, dirinya difitnah sewenang-wenang oleh Razman yang juga calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), Gunong Semanggol.

Anwar (tengah) ketika bertemu dengan pengundi di Bachok pada Khamis. - Foto FB Anwar Ibrahim

"Saya ingat lagi Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pesan pada saya ketika saya meminta maaf kerana bercakap kasar.

Iklan

"Beliau kata, tak boleh kasar dengan orang melainkan kamu dizalimi. Saya dizalimi! Saya berhak jawab pada orang macam itu,” katanya.

Anwar berkata, ucapan oleh Razman yang didakwa berunsur fitnah semasa kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) itu sesuatu yang memalukan dan mendakwa tidak sepatutnya berlaku dalam politik.

Iklan

Beliau berkata, pemimpin Pas itu sebaliknya harus seperti berdakwah yang perlu berhemah.

"Fitnah sewenang-wenang, malu orang pakai kopiah putih, bercakap atas nama wardah Islam. Islam itu tinggi, bukan parti.

"Ini orang kamu, tokoh kamu, tak ada siapa pun tegur. Mana akhlak, prinsip dan nilai dalam Islam. Boleh ke kita maki hamun sesuka hati?” Soalnya.

Pada Rabu, Anwar melalui surat tuntutan (LOD) menuntut ganti rugi RM5 juta dan permohonan maaf secara terbuka daripada Razman kerana didakwa memfitnah calon PH Parlimen Tambun itu ketika berkempen di pasar malam Tebuk Pancur, Perak pada Ahad.

Pada PRU15 ini, Razman selaku penyandang kerusi DUN Gunung Semanggol bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) dan berdepan saingan tiga penjuru bersama Nazirul Jamaluddin (Barisan Nasional) dan Sheikh Khuzaifah Sheikh Abu Bakar (PH).