Tekad bawa pelbagai isu Raub ke Parlimen

Iklan
Yu Hui beramah mesra dengan penduduk di Parlimen Raub.

Calon PH mahu cari penyelesaian tuntas masalah gangguan air dan tanah haram

Yu Hui beramah mesra dengan penduduk di Parlimen Raub.

RAUB - Keputusan calon Pakatan Harapan (PH) dari parti Dap, Chow Yu Hui, 39 bertanding di kerusi Parlimen Raub pada Pilihan Umum ke-15 (PRU15) didorong atas dasar tanggung jawabnya untuk berkhidmat dengan lebih berkesan demi kesejahteraan hidup penduduk di daerah itu.

Iklan
Iklan

Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Tras itu bersemangat untuk bergelar Ahli Parlimen, demi mencapai visi dalam membawa perubahan serta menyelesaikan segala permasalahandi daerah yang terkenal dengan durian Musang King itu.

Baginya, isu seperti gangguan bekalan air dan penyelesaian masalah tanah tanpa permit (tanah haram) yang diusahakan pekebun durian Musang King hanya dapat diselesaikan di peringkat Parlimen dengan campur tangan Kerajaan Persekutuan.

Iklan

"Sekiranya diberi mandat pada PRU15 ini, dua isu utama ini antara yang akan saya perjuangkan di Parlimen supaya ia dapat diselesaikan demi kebaikan semua pihak.

"Bila isu seperti masalah bekalan air ini dibawa ke Parlimen, Kerajaan Persekutuan boleh memberi tekanan atau menyalurkan peruntukan yang cukup kepada Kerajaan Negeri Pahang untuk menyelesaikan masalah itu dengan segera," katanya.

Iklan

Penyelesaian isu secara menang-menang

Yu Hui beramah mesra dengan penduduk di Parlimen Raub.


Yu Hui berkata, dalam isu tanah haram untuk durian Musang King pula menuntut kepada penyelesaian secara 'menang-menang' antara pekebun dan kerajaan negeri.

"Dalam perkara ini, semua pihak perlu jelas wujudnya kebun durian haram ini berkait dengan faktor sejarah dan Dasar Buku Hijau yang dilaksanakan kerajaan sekitar tahun 1970an.

"Kerajaan ketika itu menggalakkan penduduk untuk 'cari makan' dengan mengusahakan tanah di belakang kampung untuk menanam pelbagai jenis tanaman termasuk durian, getah, koko dan lain-lain.

"Walaupun ada pekebun memohon hak milik tanah itu, namun geran tidak dikeluarkan sehingga bila durian Musang King ada nilai, tanah tersebut telah diambil alih," ujarnya.

Beliau melihat berlaku ketidakadilan dalam isu tersebut sebab itu ia akan terus diperjuangkan dan dibawa untuk diselesaikan di peringkat Parlimen sekiranya menang pada PRU15 ini.

"Sepatutnya kerajaan negeri meneliti semula isu itu bagi mencari penyelesaian yang boleh memberi kebaikan kepada semua pihak selain mengenang jasa pekebun membantu mengangkat nama daerah Raub hingga dikenali seluruh dunia dengan hasil durian premium itu.

"Paling penting masalah ini tidak terus dijadikan isu perkauman kerana pekebun terlibat bukan kaum Cina sahaja malah ada juga orang Melayu seperti di Sungai Chalit," jelasnya lagi.

Janji berikan khidmat adil kepada semua

Yu Hui yakin PH menang di kerusi Parlimen Raub.


Sementara itu katanya, jika rezeki memihak kepada PH khususnya Dap di kerusi itu pada PRU15 ini beliau bertekad untuk berkhidmat untuk semua tanpa mengira kaum.

"Penduduk Raub terdiri pelbagai kaum dengan Melayu (54 peratus), Cina (37 peratus), India (7 peratus), Orang Asli dan lain-lain (2 peratus).

"Untuk menang saya bergantung kepada undi pengundi semua kaum seperti yang berlaku pada PRU14 apabila menang di DUN Tras," katanya.

Yu Hui yang juga bekas ADUN Bilut (2013-2018) bagaimanapun mengakui perlu mengatur strategi yang berbeza untuk mendekati pengundi setiap kaum sepanjang tempoh berkempen kali ini termasuk pengundi muda.

"Bagi pengundi Cina, program ceramah secara kerap lebih sesuai manakala di kawasan Melayu dan Felda, pendekatan 'walkabout' secara bersemuka serta sentuhan peribadi lebih berkesan dalam menjelaskan isu yang berlaku termasuk salah faham terhadap DAP dan PH.

"Untuk menarik undi pengundi muda 18-24 tahun yang pertama kali mengundi, aktiviti sesuai akan diadakan untuk mendekati dan menjelaskan golongan itu tentang sistem serta perkembangan politik semasa selain kepentingan mengundi," jelasnya.

Fokus pengundi muda

Menurutnya, golongan muda masih kurang minat dengan politik dan sepatutnya sebelum Dasar Undi 18 dilaksanakan, pendedahan kepada perkara berkaitan demokrasi ini sepatutnya dimulakan di peringkat sekolah menengah.

"Jadi dalam tempoh kempen ini, saya akan minta ibu bapa supaya membantu menjelaskan kepada anak mereka tentang perkara ini supaya mereka menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi," katanya.

Selain itu, beliau mengharapkan warga Raub terus memberikan peluang kepada PH pada PRU15 ini untuk meneruskan reformasi bagi mengubah sistem politik negara ke arah yang lebih baik demi kesejahteraan rakyat.

Profil

CHOW YU HUI


Nama:Chow Yu Hui

Umur:39

Tempat lahir:Taiping, Perak

Kampung halaman:Bentong, Pahang

Pendidikan:Ijazah Sarjana Muda Sastera, Pengajian Media (Major), Pengajian Antarabangsa dan Strategik (Minor) Universiti Malaya

Kerjaya Politik:

2007- Masuk DAP

2008-2012- Naib Ketua Pengarang The Rocket edisi Bahasa Cina

2016-2020- Ketua Pengarang The Rocket edisi Bahasa Cina

Pengalaman sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri:

2013-2018- ADUN Bilut, Pahang

2018-2022- ADUN Tras, Pahang



ADVERTORIAL