POKOK SENA - Gelaran Maklong PTPTN memberikan kelebihan kepada Calon BN Parlimen Pokok Sena, Noran Zamini Jamaludin dalam membantu kempennya pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kerana telah dikenali terutamanya pengundi muda melalui sosial media.
Menurutnya, orang ramai dilihat lebih mengenali beliau dengan nama tersebut semasa turun padang di sekitar Parlimen Pokok Sena selepas penamaan calon pada 5 November lalu.
"Bila saya berjalan dalam siri kempen ini barulah saya tahu bahawa karakter maklong itu rupanya membantu saya sebab ada tempat bila saya pergi bila sebut Noran tu dia tengok lama tapi bila ada orang sebut inilah Maklong PTPTN yang dalam YouTube baru orang kenal.
"(Jadi) bahan kempen jugalah, orang tua pun tahu. Dahulu masa saya ceramah jemputan Pas sekalipun di kain rentang juga mereka tulis Mak Long PTPTN, mungkin sebati dengan saya. Jolokan Maklong ini juga dikenali satu Malaysia. saya takpa panggil maklong, isteri saya pula orang panggil paklong," katanya pada sidang akhbar mengulas tentang dirinya sebagai calon baharu PRU15 dan lebih dikenali dengan gelaran Maklong PTPTN oleh masyarakat.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pada Program Kenduri Sepak Raga Taman Pinang Jaya, Bukit Pinang, dekat sini.
Pada PRU15, Noran Zamini berdepan saingan empat penjuru membabitkan
dua calon 'heavyweight' iaitu penyandang kerusi Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar daripada Pakatan Harapan (PH) dan Datuk Ahmad Yahya yang mewakili Perikatan Nasional (PN) manakala seorang lagi adalah Noraini Md Salleh.
Mahfuz yang merupakan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) telah memenangi kerusi parlimen itu pada 1999, 2008, 2013 dan 2018 manakala Ahmad pula adalah Pesuruhjaya Pas Kedah.
Noran Zamini yang juga Naib Ketua Bahagian UMNO Pokok Sena turut mengakui menghormati reputasi dan karakter yang dimiliki oleh dua pemimpin tersebut namun sebagai calon muda, beliau berharap diberi peluang dipilih sebagai wakil rakyat untuk membawa pembaharuan ke Pokok Sena.
"Pertembungan tradisi di Pokok Sena ini sebenarnya adalah membabitkan UMNO dan Pas sahaja sejak dari dahulu lagi. Semasa pemerintahan PH selama 22 bulan, ketika itu hubungan saya dengan Pas baik dan semasa zaman Muafakat Nasional (MN) saya banyak dijemput oleh Pas berbanding UMNO.
"Hubungan yang akrab ini dalam MN menyebabkan senario kali ini seolah-olah dalam suasana harmoni sebab antara saya dan (calon) Pas itu sebagai kawan dan sahabat," ujar beliau lagi.