Arul Kanda tidak mengaku subahat

Iklan

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur terhadap pertuduhan bersubahat dengan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk meminda laporan akhir pengauditan 1MDB.

Arul Kanda yang memakai sut hitam tenang di kandang tertuduh dan mengaku tidak bersalah di hadapan hakim Rozina Ayob.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Arul Kanda didakwa bersubahat dengan Najib sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Perdana Menteri dengan menggunakan jawatan beliau untuk mendapatkan suapan iaitu perlindungan daripada tindakan tatatertib sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Tindakan itu adalah dengan mengarahkan laporan akhir pengauditan 1MDB yang sedang disediakan dipinda sebelum laporan berkenaan dimuktamadkan dan dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Awam Negara (PAC).

Iklan

Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di Kompleks Jabatan Perdana Menteri Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, Putrajaya antara 22 Februari 2016 dan 26 Februari 2016.

Dakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 di baca bersama Seksyen 23 (1) dan 24(1) akta yang sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda minimum lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mana-mana lebih tinggi.

Iklan

Pihak pendakwaan yang diwakili Datuk Seri Gopal Sri Ram mencadangkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan untuk tertuduh menyerahkan pasportnya kepada mahkamah.

Tiada bantahan berhubung jumlah jaminan daripada peguam Datuk N. Sivananthan yang mewakili Arun Kanda namun beliau memohon bayaran tersebut dibuat secara ansuran sebanyak dua kali.

Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Akram Gharib membantah permohonan itu sebaliknya memohon jumlah tersebut dibayar hari ini.

Rozina kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM500,000 dengan seorang penjamin yang dibayar hari ini serta mengarahkan pasport tertuduh ditahan sehingga perlupusan kes.

Kes itu ditetapkan untuk sebutan pada 4 Januari depan.