CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menjelaskan, tidak salah ahli politik sepertinya bercita-cita menjadi perdana menteri suatu hari nanti.
Menurutnya, kenyataan yang dibuat sebelum ini memberi bayangan bahawa beliau ingin berkhidmat untuk negara dan rakyat jika diberi peluang mengemudi kerajaan.
"Tak salah untuk sesiapa mempunyai cita-cita. Cuma, (sebelum ini) saya beri bayangan ingin berkhidmat untuk negara dan rakyat.
"Jika diberi peluang, saya juga ingin menerajui kerajaan kita di kemudian hari. (Salah satu sebabnya), kita nak tunjuk bahawa UMNO dan BN tidak ketandusan pemimpin yang boleh mengemudi negara pada masa depan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini pada Jumaat.
Khairy sebelum ini meluahkan hasratnya untuk memimpin UMNO dan seterusnya menjadi perdana menteri suatu hari nanti semasa ceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh pada Selasa.
Bagaimanapun katanya, hasrat itu perlu dibuktikan melalui kemenangan di Sungai Buloh yang disifatkannya agak mencabar.
Hasratnya itu disambut baik oleh beberapa pimpinan partinya dan parti lawan, dengan kebanyakan daripada mereka melihat Khairy seorang individu yang layak untuk menjadi perdana menteri negara ini pada suatu masa nanti.