SHAH ALAM - Proses pengisytiharan aset dan harta persendirian yang dilakukan oleh mana–mana pihak termasuk calon yang bertanding dalam proses pilihan raya perlu disemak dan dinilai oleh pakar profesional.
Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang (FSU), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr Muzaffar Syah Mallow berkata, ia bertujuan mengelakkan mana–mana pihak melakukan sebarang kesilapan termasuklah salah kira ataupun penipuan ketika membuat pengisytiharan aset dan harta mereka sendiri.
"Isu melibatkan pengisytiharan aset dan harta ini mendapat tempat dalam negara kita sejak akhir-akhir ini di mana kalangan calon bertanding dalam pilihan raya mula mengisytiharkan aset dan harta dimiliki oleh mereka.
"Ini bagi menyakinkan pihak pengundi bahawa mereka tidak memiliki pendapatan atau pengumpulan harta luar biasa yang boleh mengundang rasa syak wasangka terhadap diri mereka.
"Amalan mengisytiharkan aset atau harta yang dimiliki ini adalah satu amalan yang baik kerana ia dapat mempamerkan sifat ketelusan dan profesionalisme setiap pihak," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli sebelum ini menjadi calon pertama mengisytiharkan hartanya sebagai sebahagian daripada syarat ditetapkan kepada semua calon yang bertanding atas tiket PKR.
Rafizi Ramli mengisytiharkan hartanya dengan nilai aset bersih sebanyak RM18.85 juta.
Beberapa pemimpin Pakatan Harapan (PH) sebelum ini turut mengisytiharkan harta mereka termasuk Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Datuk Seri Anwar Ibrahim (RM11.2 juta); Calon Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (RM1.36 juta) dan Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof (RM2.54 juta).
"Bagaimanapun proses pengisytiharan aset atau harta dimiliki harus dilakukan dengan lebih teliti dan profesional oleh pihak yang pakar dan bertauliah seperti pakar audit ataupun akauntan kerana mereka lebih mengetahui segala aset dan harta yang benar – benar dimiliki oleh seseorang individu itu.
"Sekiranya proses pengisytiharan aset atau harta ini dilakukan oleh individu itu sendiri tanpa bantuan pihak pakar dan bertauliah adalah dibimbangi akan berlaku kesilapan salah kira ataupun penipuan," ujarnya.
Jelas beliau, individu yang tidak memiliki ilmu pengetahuan, kelayakan dan kepakaran dalam proses penilaian dan pengumpulan aset dan harta itu tidak akan mengetahui jumlah sebenar aset dan harta yang dimiliki oleh diri mereka sendiri.
"Perlu diketahui, aset dan harta kita tidak hanya terhad pada jumlah duit yang disimpan dalam bank. Terdapat banyak lagi aset dan harta seperti harta alih dan harta tidak alih seperti kenderaan, rumah, tanah dan lain-lain perlu juga dinilai dan diisytihar oleh calon yang bertanding.
"Terdapat juga jenis-jenis aset dan harta atau punca pendapatan lain seperti perniagaan sampingan yang perlu juga diambil kira untuk proses pengisytiharan aset dan harta ini," jelasnya.
Justeru, beliau berkata, ia adalah penting supaya proses penilaian aset dan harta itu dilakukan oleh pihak pakar dan bertauliah terlebih dahulu sebelum pihak berkaitan ingin mengisytiharkan aset dan harta mereka sendiri pada khalayak umum supaya tidak timbul isu berbangkit pada masa akan datang.
Dalam pada itu, beliau berkata, membendung sebarang jenis salah laku yang melibatkan rasuah dan salah guna kuasa dalam negara kita adalah penting.
"Dengan tamatnya proses penamaan calon bertanding untuk proses Pilihan Raya Umum Kali Ke – 15 (PRU15) maka bermulalah kempen pilihan raya bagi memikat hati para pengundi sehingga hari pengundian pada 19 November nanti.
"Apa yang menjadi kebimbangan ramai pihak adalah salah laku rasuah akan berlaku sepanjang tempoh berkempen sehingga hari mengundi nanti.
"Calon dan parti politik yang masuk bertanding dibimbangi akan menawarkan pelbagai jenis sogokan ataupun habuan sama ada secara langsung ataupun tidak langsung demi mendapatkan sokongan undi dari para pengundi," katanya.
Beliau berkata, adalah penting pihak berwajib seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil segala langkah yang perlu bagi memantau dan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang disyaki menawarkan atau memberi rasuah bagi mendapat sokongan undi daripada pengundi.
"Pihak SPRM perlu memberi peringatan tegas dan keras terhadap semua calon dan parti politik yang bertanding sempena pilihan raya umum kali ke-15 (PRU15) ini supaya tidak menawarkan atau memberi sebarang jenis sogokan atau habuan kepada mana-mana pihak," katanya.
Tambah beliau, SPRM perlu memantau dengan ketat kempen yang dilakukan sepanjang tempoh berkempen sempena PRU15 bagi membendung sebarang aktiviti yang berkaitan dengan rasuah.
"Proses pemantauan yang sama juga perlu dilakukan terhadap kempen yang dilakukan di alam maya melalui media-media sosial bagi membendung aktiviti rasuah.
"Orang ramai juga perlu memberi kerjasama dengan SPRM untuk membendung aktiviti rasuah sepanjang kempen PRU15," katanya.