PRU15: Terpulang pada parti mahu isytihar harta atau tidak

Iklan
Khairy Jamaluddin - Foto Bernama

CYBERJAYA - [DIKEMAS KINI] Setiap parti mempunyai hak dan pendirian masing-masing untuk menentukan sama ada pemimpinnya perlu mengisytiharkan harta atau tidak.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar bagaimanapun menyifatkan pengisytiharan harta adalah satu perkara penting dan beliau sendiri tiada masalah untuk melakukannya.

Iklan
Iklan

Jelas beliau, berdasarkan amalan biasa, setiap jemaah menteri hanya mengisytiharkan harta dengan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebaik sahaja dilantik.

"Berkenaan dengan pengisytiharan harta, dari awal lagi saya menyatakan ini adalah satu perkara penting. Saya sendiri tiada apa-apa masalah untuk mengisytiharkan harta apabila dipilih menjadi ahli jemaah menteri kerana ia memang amalan kita sejak dari dulu.

Iklan

"Saya juga sudah mengisytiharkan harta saya dengan SPRM dan tersenarai dalam julat harta yang telah dipersetujui oleh SPRM.

"Jadi, jika Parti Keadilan Rakyat (PKR) nak buat, tak apalah. Tapi, rakan-rakan PKR pun ada yang tak ikut sama. DAP tak buat.

Iklan

"Jadi, setiap parti ada pendirian masing-masing dan dasar kami, akan buat setelah dilantik ke jawatan kerajaan,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Pengoperasian Hospital Cyberjaya di sini pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika ditanya tentang kewajaran semua parti untuk mengikut langkah PKR dalam pengisytiharan harta.

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli sebelum ini berkata, PKR menetapkan syarat setiap calonnya perlu melakukan pengisytiharan harta.

Langkah itu dilaksanakan untuk menghapuskan pandangan serong pengundi terutama dalam kalangan anak muda terhadap aset dimiliki pemimpin.

Bagaimanapun, rakan gabungan PKR dalam Pakatan Harapan (PH) iaitu DAP tidak menetapkan dasar untuk calonnya yang bertanding pada PRU15 mengisytiharkan harta mereka.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke berkata, mereka hanya akan berbuat demikian sekiranya dipilih mengangkat sumpah sebagai menteri jika PH menang dalam pilihan raya dan membentuk kerajaan.