PRU15: Kempen percuma bagi calon sokong tuntutan CAMU

Iklan
CAMU sedia menyarankan agar 15 juta pekerja di negara ini mengundi calon PRU15 yang menyokong enam tuntutan yang disenaraikan. (Gambar kecil: Rudy)

KUALA LUMPUR - Seramai 21 calon daripada pelbagai parti yang bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) telah menandatangani aku janji menyokong enam tuntutan Gabungan Membantah Kepelbagaian Kesatuan Sekerja (CAMU).

Pengerusi CAMU, Rudy Rusly berkata, antara tuntutan yang disenaraikan adalah mahu Dewan Rakyat menarik balik Rang Undang-undang (RUU) Akta Kesatuan Sekerja (Pindaan 2022) (DR 12/2022) dan memansuhkan semua seksyen eksploitatif terhadap pekerja dalam (RUU) sekiranya calon itu berjaya mendapat mandat.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pendekatan untuk mengumpul sokongan calon PRU15 yang digerakkan jawatankuasa CAMU di setiap negeri itu dibuat sejak seminggu lalu demi kepentingan 15 juta pekerja di negara ini.

"CAMU yang dianggotai oleh lebih 39 kesatuan sekerja dan UNI-MLC yang mempunyai lebih 100 kesatuan gabungan, mahu parti-parti politik yang bertanding agar memberi komitmen untuk mempertahankan hak dan kebajikan para pekerja di negara ini.

Iklan

"Memandangkan wujudnya eksploitasi dan diskriminasi yang berterusan terhadap pekerja-pekerja sejak 65 tahun yang lalu, CAMU menuntut calon-calon yang bertanding dalam PRU15 supaya menyokong enam tuntutan yang perlu dilaksanakan dalam tempoh 100 hari selepas memenangi pilihan raya.

Tambah beliau, antara lain, CAMU menuntut agar Jabatan Perhubungan Perusahaan dan Mahkamah Perusahaan mengarahkan majikan-majikan melaksanakan Formula Gaji Minimum Kementerian Sumber Manusia supaya jurang ketidakseimbangan pendapatan akan dikurangkan.

Iklan

Katanya, CAMU juga mahu hukuman dikenakan ke atas majikan yang memecat pemimpin kesatuan sekerja dan ahli kesatuan yang lantang perjuangkan kebajikan pekerja.

"Selain itu, kita mahu calon yang menang mengangkat isu agar para pekerja digalakkan menyertai Kesatuan Sekerja sedia ada dan apabila pengiktirafan Kesatuan Sekerja diadakan dalam persekitaran bukan kesatuan, majikan hendaklah mengiktiraf kesatuan tunggal dalam kategori yang sama.

"Undi rahsia yang dijalankan oleh kerajaan yang memerlukan persetujuan pekerja untuk menyertai Kesatuan Sekerja juga hendaklah dimansuhkan.

"Demi melindungi para pencarum, Perkeso dan KWSP hendaklah mengadakan Mesyuarat Agung Tahunan secara teratur dan menjemput pencarum-pencarum sebagai pihak-pihak berkepentingan bersama-sama membincangkan aktiviti dan laporan-laporan kewangan bagi mencapai ketelusan dan akauntabiliti," katanya.

Justeru, beliau berkata, senarai calon yang menandatangani tuntutan-tuntutan tersebut akan dimuat naik dalam laman sesawang dan media sosial CAMU untuk makluman kepada umum.

"Setakat ini kita mendapat sokongan 11 calon di Pulau Pinang, lima di Kedah, dua di Selangor dan masing-masing satu bagi Perak, Melaka dan Wilayah Persekutuan," jelasnya.