PM Jepun pecat menteri kehakiman

Iklan
Yasuhiro Hanashi. - Foto AFP

TOKYO - Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida telah membuat keputusan untuk memecat Menteri Kehakiman Yasuhiro Hanashi berhubung kenyataannya mengenai tugas berkaitan menandatangani hukuman mati, lapor Sputnik.

Laporan Kyodo pada Jumaat yang memetik sumber dalam kerajaan berkata, Hanashi yang memegang jawatan sebagai menteri kehakiman pada Ogos, memberitahu perhimpunan politik pada Rabu bahawa jawatan yang disandangnya itu 'tidak penting' dan hanya menjadi tajuk utama akhbar sekiranya beliau menandatangani keputusan untuk menggantung banduan.

Iklan
Iklan

Hanashi masih belum membenarkan sebarang hukuman mati.

Menteri itu menarik balik kenyataan kontroversinya pada mesyuarat jawatankuasa parlimen pada Khamis. Namun, ramai wakil parti pembangkang sudah menyatakan hasrat mereka untuk mendesak beliau meletak jawatan.

Iklan

Awal minggu ini, Ketua Setiausaha Kabinet Jepun Hirokazu Matsuno mengadakan pertemuan dengan Hanashi dan memberi amaran kepadanya terhadap kenyataan cuainya itu dan menggesa beliau supaya 'lebih bertanggungjawab ketika bercakap.'

Hanashi akan menjadi tokoh kanan kedua dalam kerajaan Jepun yang meletak jawatan sejak beberapa minggu lalu, dengan Daishiro Yamagiwa meletak jawatan sebagai Menteri Pemulihan Ekonomi pada akhir Oktober berikutan hubungannya dengan Unification Church, yang telah menjadi tumpuan berikutan pembunuhan bekas Perdana Menteri, Shinzo Abe.

Iklan

Peletakan jawatan seorang lagi menteri dalam kabinet Kishida boleh menjejaskan sokongan penduduk terhadapnya, dengan penarafan kelulusannya sudah merosot kepada 30-35 peratus dalam tempoh beberapa bulan kebelakangan ini. - Bernama