GRS tidak bercita-cita mahu jadi PM

Iklan
Hajiji beramah mesra pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut, Beaufort.

BEAUFORT - Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak bercita-cita mahu menjadi Perdana Menteri seperti pihak lain, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor.

Sebaliknya, Pengerusi GRS itu berkata akan terus memberi sokongan kepada BN termasuk calon Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekali gus memastikan kejayaan cemerlang pada 19 November ini.

Iklan
Iklan

"Sudah pasti apabila calon GRS-BN di Kimanis menang pada PRU15 ini, beliau (Datuk Mohamad) pasti akan dilantik menjadi timbalan menteri atau menteri penuh.

"Pemimpin seperti ini yang seharusnya menjadi pilihan dan bukannya mereka yang hanya lebih banyak bercakap dan menabur janji. GRS akan terus memberi sokongan kepada BN. Kita (GRS) tidak cita-cita mahu menjadi Perdana Menteri seperti pihak lain.

Iklan

"Baru-baru ini Datuk Azis Jaman (calon Warisan di Sepanggar) cakap kenapa hanya jawatan TPM (Timbalan Perdana Menteri) kenapa tidak PM (Perdana Menteri). Macam mana mahu jadi PM, sedangkan di Sabah pun mereka kalah.

"Dua tahun menjadi kerajaan negeri, hala tuju pun tiada melainkan fitnah sana-sini," katanya pada Majlis Pemimpin bersama Rakyat di Dewan Sri Wawasan Kampung Pimping, Membakut di sini pada malam Khamis.

Iklan

Hadir sama Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan calon BN Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin.

Beliau turut berkata, kerajaan yang tidak mendapat mandat rakyat tidak akan bertahan lama seperti Parti Warisan (Warisan).

Katanya, pemerintahan Warisan sebelum ini bukan berdasarkan mandat rakyat tetapi disebabkan ada wakil rakyat yang 'melompat' sehingga menyebabkan kerajaan BN ketika itu jatuh.

"Selepas kira-kira dua tahun memerintah, pilihan raya negeri (PRN) diadakan kerana Shafie Apdal (Datuk Seri Mohd Shafie) terpaksa membubarkan kerajaan disebabkan hilang sokongan.

"Inilah bezanya parti yang mendapat mandat selepas wakil rakyat melompat dengan parti yang mendapat mandat rakyat seperti GRS-BN.

"Kerajaan Warisan memerintah bukan sebab mandat rakyat tetapi ada wakil rakyat terutama Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) yang melompat ke Warisan. Keadaan itu menyebabkan kerajaan BN jatuh.

"Tuhan itu adil, kerajaan yang tidak mendapat mandat, tidak mampu bertahan lama.

"Wakil rakyat yang menyokong Warisan keluar beramai-ramai hingga menyebabkan PRN terpaksa diadakan,” katanya.

Hajiji berkata, beliau jarang bercakap soal politik di mana-mana media massa namun pada musim PRU ini, banyak perkara perlu dikongsi bersama rakyat terutama berkaitan pencapaian yang dilakar kerajaan negeri.

"Saya kena bercakap apa yang sudah, sedang dan akan kerajaan negeri laksanakan serta pencapaian kita selama dua tahun memerintah hingga mampu memperoleh kutipan hasil negeri sebanyak RM5.449 bilion pada tahun lalu.

"Kejayaan yang tidak pernah dicapai sebelum ini. Walaupun kita berdepan pandemik Covid-19 pada awal pemerintahan, ia tidak menghalang kerajaan GRS-BN terus mengorak langkah dan mengatur strategi memulihkan ekonomi.

"Kita atur kerajaan sebaik-baiknya. Justeru, pada tahun ini kita dijangka akan mengutip lebih besar lagi iaitu RM6 bilion," katanya.