ASEAN setuju terima Timor-Leste sebagai anggota ke-11

Iklan
Pemimpin ASEAN berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja. - Foto EPA
BANGKOK - Persatuan Negara-negara Asia Tenggara (ASEAN) pada dasarnya bersetuju agar Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.

Pemimpin ASEAN yang kini berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja dalam satu kenyataan berkata, Timor-Leste juga akan diberi status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno.

"Berdasarkan hasil keputusan Pencarian Fakta yang dijalankan oleh Keselamatan Politik ASEAN, Komuniti Ekonomi ASEAN dan Komuniti Sosio-Budaya ASEAN, para pemimpin secara dasarnya bersetuju mengakui Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN.

"Para pemimpin bersetuju untuk memformalkan objektif berasaskan kriteria Pelan Hala Tuju bagi keahlian penuh Timor-Leste termasuk pencapaian yang dikenal pasti dalam laporan Misi Pencarian Fakta dan melaporkannya kepada Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 untuk diterima pakai,” menurut kenyataan itu.

ASEAN dibentuk oleh lima negara anggota - Singapura, Malaysia, Indonesia, Thailand dan Filipina pada 1967.

Brunei menyertai blok itu pada 1984, manakala Vietnam pada 1985, Myanmar dan Laos (1997).

Kemboja yang merupakan pengerusi sidang kemuncak ASEAN tahun ini, merupakan negara terakhir menyertai ASEAN pada 1999.

Presiden Timor-Leste Jose Ramos-Horta telah lama berkempen untuk menjadi anggota ASEAN, dan memohon untuk menyertai ASEAN secara rasmi pada 2011.

Negara dengan populasi 1.35 juta penduduk itu mencapai kemerdekaannya pada 20 Mei 2002. - Bernama