Nafuzi jangka pertemuan kedua TFC, KL City sengit

Iklan
Nafuzi menjangkakan perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia antara TFC dan KL City berlangsung sengit. - Foto Bernama

PENGENDALI Terengganu FC (TFC), Mohd Nafuzi Zain menjangkakan pertemuan kedua pasukan itu dengan KL City FC pada perlawanan suku akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di sini, malam esok sengit.

Beliau berkata, kemampuan KL City selaku juara bertahan serta finalis Piala AFC bukan calang-calang malah berpotensi memerangkap skuad kendaliannya.

Iklan
Iklan

Jelasnya, ketua jurulatih, Bojan Hodak serta pemain dari ibu kota itu memiliki kelebihan pengalaman termasuk sentuhan dan ketangkasan senjata utama, Paulo Josue.

"Saya jangkakan TFC mempunyai peluang sama rata. 1-0 bukan bekalan selesa bagi kami namun apa yang penting TFC masih mendahului satu gol untuk memulakan aksi timbal balik di laman sendiri, malam esok.

Iklan

"Bagaimanapun, kita tahu pemain KL City cukup berkualiti di semua posisi, dengan corak permainan serangan balas dan ketua jurulatih mereka pastinya merencana sesuatu untuk mengimbangi kedudukan agregat.

"TFC akan bertemu pasukan baik dan kedua-duanya berpeluang ke separuh akhir. Mungkin pemenang akan ditentukan oleh faktor karakter pemain," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Nafuzi berkata, skuad bimbingannya tidak akan menukar rentak permainan susulan layangan kad merah kepada pemain TFC dalam dua perlawanan sebelum ini.

Menurutnya, ketiadaan penjaga gol, Mohd Suhaimi Husin tidak merisaukan kerana pasukan itu memiliki pengganti setanding Rahadiazli Rahalim dan Mohd Sharmiza Yusoff yang bersedia diturunkan.

Beliau berkata, anak buahnya diramal mengekalkan corak serangan serta mampu menamatkan perlawanan dalam tempoh 90 minit tanpa perlu diheret ke masa tambahan atau penentuan sepakan penalti meskipun berpengalaman beraksi dengan hanya 10 pemain sebelum ini.

"Tonggak pertahanan, Shahrul Nizam Roshasni juga akan memperkuatkan benteng TFC setelah kembali daripada penggantungan satu perlawanan," ujarnya.

Pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia Ahad lepas, TFC membuat kejutan apabila menjinakkan juara bertahan, KL City, 1-0, di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, hasil jaringan penyerang, Kpah Sherman pada minit ke-14, separuh masa pertama.