KLANG - Barang lama yang rosak masih belum dapat dibaiki, barang baharu pula rosak akibat banjir kilat, kata ibu tunggal, Norlaila Hasan, 49.
Wanita lima anak dari Johan Setia itu berkata, kerosakan peralatan dialami akibat banjir benar-benar menguji fizikal dan mental keluarganya.
"Masakan tidak, dua mesin jahit digunakan untuk mencari rezeki rosak pada tahun lalu dan sehingga kini masih belum dapat dibaiki kerana kos tinggi.
"Situasi sama berlaku pada tahun ini, banjir kilat melanda Johan Setia turut merosakkan peralatan rumah yang masih berbaki dalam rumah kami," katanya.
Norlaila antara lebih 100 mangsa banjir yang ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Johan Setia pada Jumaat.
Sementara itu, sepupunya, Nor Fadilah Mohd Yatim, 38, berkata, kerosakan peralatan akibat banjir tidak dapat dielakkan namun mereka perlu mengurangkan kos kerugian.
"Kami bantu satu sama lain untuk memindahkan barang-barang rumah ke tempat selamat tetapi kami tidak dapat pindahkan semua, mana yang perlu dan penting sahaja," katanya.
Sementara itu, seorang guru di SK Kampung Johan Setia, Ily Nadia Abdul Rahman, 40, yang bersimpati dengan nasib mangsa banjir membantu kumpulan tersebut dengan kemampuan yang ada.
Ily Nadia dilihat mengagihkan roti dan kek kepada mangsa banjir di PPS SK Kampung Johan Setia walaupun mangsa di PPS berkenaan disediakan makanan dan minuman.
Dalam pada itu, badan bukan kerajaan dan agensi swasta juga dilihat turut menyampaikan pelbagai sumbangan sekali gus dapat mengurangkan tekanan dihadapi mangsa banjir.