IPOH - Lembaga Air Perak (LAP) akan membekalkan air terawat kepada lebih 1,000 penduduk Kampung Ayer Ganda, Gerik yang terjejas selepas penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Ayer Ganda, hari ini.
Dalam satu kenyataan, LAP memaklumkan, untuk sementara waktu, bekalan air terawat itu diberikan melalui lori tangki dan tangki statik.
"Untuk jangka masa panjang, LAP akan membina paip sepanjang 11.5 kilometer dan pam penggalak untuk menyalurkan air terawat dari Loji Rawatan Air Lawin ke Kampung Ayer Ganda.
"Kita sentiasa memastikan kualiti air terawat yang dibekalkan kepada pengguna adalah selamat digunakan," katanya.
Dalam kenyataan sama, LAP berkata, pihaknya telah memberhentikan operasi loji, Selasa lalu seperti diarahkan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
Jelasnya, hasil ujian ke atas sampel air di loji terbabit menunjukkan paras arsenik adalah rendah dan dibawah piawaian ditetapkan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu kurang daripada 0.01 miligram untuk setiap liter.
"Bagaimanapun LAP menghormati dan akur dengan keputusan SPAN supaya operasi LRA Ayer Ganda ini ditutup," katanya.
Terdahulu, Pengerusi SPAN, Charles Santiago mengarahkan agar LRA Ayer Ganda ditutup serta-merta selepas terjejas dengan pencemaran arsenik.
Pencemaran itu mula dikesan Kementerian Kesihatan pada 8 Januari lalu, sebelum satu arahan dikeluarkan kepada LAP pada 14 Januari untuk menutup LRA berkenaan jika operator air negeri itu gagal mengatasinya.
Bagaimanapun laporan susulan pada Februari dan Mac masih mengesan kandungan arsenik dalam air terawat dan LAP tetap meneruskan operasi LRA yang membekalkan air terawat kepada penduduk kampung.