RANTAU PANJANG - Polis Kelantan meluluskan sejumlah 360 permit ceramah dalam tempoh berkempen sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di negeri ini setakat petang Jumaat.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, permit yang dikeluarkan itu melibatkan permohonan daripada pelbagai parti yang bertanding.
"Hingga jam 2 petang ini, sudah 360 permit ceramah dikeluarkan mewakili semua parti dan tidak berdepan sebarang masalah.
"Jumlah itu dijangka meningkat menjelang PRU15 pada 19 November ini,” katanya ketika ditemui selepas melawat 30 mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’Deh di sini, pada Jumaat.
Menurut beliau, syarat ceramah hanya dibenarkan setakat jam 12 tengah malam kerana mengambil kira lokasi di Kelantan yang tidak mempunyai kawasan benar-benar lapang.
"Kita ambil kira penduduk terutama yang ada anak kecil dan setakat ini tidak ada lagi perkara yang mengganggu atau sebarang aduan diterima,” katanya.
Katanya, pihak polis sentiasa mengadakan pemantau dan menasihatkan semua supaya bekerjasama dengan mengamalkan politik matang.
Sementara itu, beliau mengingatkan kepada calon atau pihak parti supaya memohon permit sekali sahaja bagi aktiviti 'walkabout'.
"Walkabout ceramah spontan di tempat yang dah ada orang hanya perlu mohon permit sekali sahaja, berbeza jika nak buat ceramah panggil orang datang, itu perlu mohon permit setiap anjuran.
"Paling penting calon dan penyokong pastikan semasa berkempen jangan buat benda-benda provokasi dan sensitif. Jangan ada budaya kutuk-mengutuk dan memburukkan orang lain,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan banjir, beliau berkata, setakat ini, dua PPS dibuka di negeri ini iaitu satu di SK Gual To’Deh, Rantau Panjang yang menempatkan 30 mangsa dan satu di Kelewek, Tanah Merah yang menempatkan 12 mangsa.
"Banjir di Rantau Panjang melibatkan paras sungai Golok yang meningkat mencecah melebihi 8.6 meter sejak tengah hari Jumaat manakala di Tanah Merah pula lebih kepada banjir termenung.
"Semua penduduk di penempatan yang biasa mengalami banjir dinasihatkan supaya berjaga-jaga dan mematuhi arahan berpindah,” katanya.