Bendera parti diturunkan, petugas SPR tampil beri penjelasan

Iklan
Halimey ketika dalam perkongsian siaran video di Tiktok pada Jumaat.

SHAH ALAM - Seorang lelaki tampil menjelaskan tindakannya yang tular menurunkan bendera-bendera Pakatan Harapan (PH) baru-baru ini.

Halimey Abu Bakar yang mengaku sebagai petugas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berkata, tindakan itu dibuat kerana pemasangan bendera tersebut melanggar Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Jelasnya, mana-mana bendera parti yang bertanding dalam pilihan raya tidak boleh dipasang di depan pejabat kerajaan atau mana-mana tempat tumpuan pelancongan.

Iklan
Iklan

"Ia kerana perkara ini boleh membuatkan bendera sesebuah parti itu dirampas oleh pihak berkuasa.

"(Kesalahan) ini memang berada dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 SPR.

Iklan

"Bagi mereka yang tidak boleh memahami undang-undang ini, boleh rujuk SPR bahawa saya memang ejen kepada SPR (bertugas) untuk memastikan bahawa bendera-bendera parti yang bertanding tidak mengganggu pejabat kerajaan atau tempat pelancongan,” katanya dalam satu perkongsian siaran video di TikTok pada Jumaat.

Pada Khamis, tular sebuah video di media sosial memaparkan seorang pemandu teksi bertindak menurunkan bendera PH.

Iklan


Bendera parti diturunkan kerana tutup pagar Muzium Negara

KUALA LUMPUR - Tindakan seorang lelaki yang merupakan ejen pemantau Pakatan Harapan (PH) menurunkan bendera parti itu adalah kerana pemasangan bendera tersebut telah menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara.

Ketua Polis Daerah Brickfields Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, arahan itu dikeluarkan oleh Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP KPR) ​P121 Lembah Pantai bersama wakil Polis Diraja Malaysia.

"Arahan itu dikeluarkan setelah perbincangan dibuat dengan wakil calon kerana pemasangan bendera tersebut telah menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Amihizam berkata, satu video berdurasi 34 saat yang memaparkan seorang lelaki sedang menurunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara telah tular di media sosial pada Khamis.

"Seorang individu telah merakam dan menularkannya di media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu menurunkan bendera tersebut," katanya.

Amihizam berkata, Polis Kuala Lumpur menasihatkan orang ramai agar tidak menularkan sebarang video atau apa-apa maklumat sebelum membuat semakan tentang kesahihannya.

"Tindakan tidak bertanggungjawab tersebut boleh mengganggu gugat ketenteraman awam.

'Diingatkan juga kepada orang ramai agar tidak melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan semasa dalam tempoh berkempen," katanya.