TANGKAK - Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin membidas kenyataan Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengenai 'mimpi di siang hari' berkait pencalonan beliau sebagai Perdana Menteri jika PN menang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Menurut Muhyiddin, keputusan tersebut dibuat PN kerana rakyat ingin mengetahui siapa calon Perdana Menteri daripada parti-parti bertanding.
Katanya, soal calon Perdana Menteri bukanlah mengenai mimpi di siang hari, sebaliknya ia adalah tindakan yang perlu dilakukan supaya rakyat dapat mengetahui dengan jelas dan telus.
"Jangan menyorok di belakang. Dia kata nak jadi kerajaan tetapi lepas itu nak sekongkol dengan pihak lain, hendak menamakan orang lain jadi Perdana Menteri.
"Jangan bermain dengan kebijaksanaan orang. Kita kena jelas, bersifat telus kerana ini soal masa depan negara," katanya pada sidang media ketika ditemui selepas program sembang santai dengan masyarakat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Raja, PDM Kampung Kundang Ulu dan PDM Ladang Serampang pada Jumaat.
Semalam, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahidi Hamidi menyifatkan jika ada pemimpin parti lawan yang bercita-cita menjadi Perdana Menteri kali kedua ia hanyalah seperti 'bermimpi di siang hari.
Tanpa menyebut nama pemimpin terbabit, beliau dipercayai merujuk kepada Muhyiddin selepas mendakwa 'track record' gabungan itu gagal mengurus negara dengan baik.