JOHOR BAHRU – Tiada Pusat Pemindahan (PPS) dibuka susulan banjir kilat yang dilaporkan berlaku di Kampung Masjid, Masai, Pasir Gudang petang tadi.
Perkara berkenaan disahkan menerusi satu kenyataan daripada pihak Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor, malam tadi.
Menurut kenyataan berkenaan, air banjir di kampung berkenaan juga dilaporkan semakin surut.
"Pihak APM melakukan pemantauan petang tadi susulan hujan lebat petang tadi. Seramai empat anggota dari APM dengan disertai daripada pihak bomba dan polis.
"Bagaimanapun berdasarkan situasi semasa, air banjir dilaporkan semakin surut di kampung berkenaan,” menurut kenyataan berkenaan.
Untuk rekod, banjir kilat dilaporkan berlaku di Kampung Masjid, Masai petang tadi susulan hujan lebat pada sebelah petang.
Susulan itu, sepasukan anggota APM kemudiannya telah digerakkan ke lokasi bagi membuat pemantauan terhadap banjir kilat berkenaan.
Sementara itu, berdasarkan laporan daripada Jabatan Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Segamat, tiada PPS baharu dibuka di daerah berkenaan akibat banjir kilat.
Berdasarkan laporan setakat 8.00 malam tadi, hanya tiga PPS dibuka di daerah Segamat melibatkan Balai Raya Kampung Badak yang menempatkan 39 mangsa daripada 12 keluarga, Balai Raya Kampung Kuala Paya (empat mangsa daripada satu keluarga) dan Dewan Komuniti Tasek (14 mangsa daripada lima keluarga).