MUAR - Beberapa penduduk di Muar yang dilaporkan bakal terjejas dengan banjir pada musim tengkujuh ini berkata, mereka sudah siap sedia sebarang kemungkinan.
Seorang penduduk di Kampung Parit Raja, Muar, Mohamad Sharifuddin Mohd Tajib, 35, berkata, musim tengkujuh ini semua sudah siap sedia kerana berhadapan banjir sebanyak dua hingga tiga kali pada tahun ini.
"Pada musim tengkujuh ini, jadi penduduk pun sudah fahamlah macam mana keadaannya.
"Apa boleh kita buat dan barang-barang penting apa perlu selamatkan, kita selamatkan dulu. Tidak perlu tunggu hingga banjir baru nak selamatkan barang," katanya kepada Sinar Harian.
Parit Raja Muar antara kawasan yang berisiko banjir selain di beberapa kawasan lain di Muar.
Antaranya, Kg Parit Raja, Parit Keroma, Parit Keroma Darat, Taman Keroma, Kg Kenangan TDI 5, Parit Hj Zain, Bt 15 Air Hitam, Kg Parit Yaakup, Kg Parit Karim Hulu, Kg Parit Hj Zain, Kg Parit Salman, Kg Parit Shafiee serta kawasan sekitarnya.
Dalam pada itu, Sharifuddin berkata, sistem perparitan juga dilihat sudah diselenggara dan dibersihkan.
Sementara itu, Ketua Kampung Parit Samsu, Mukim Parit Jawa, Shahrul Neeza Khalil berkata, dari segi persediaan pihaknya telah bersiap sedia dari segi tempat pemindahan dan peralatan.
Shahrul, 43, berkata pihaknya juga baru-baru ini telah menjalani kursus untuk mengurangkan tekanan mangsa banjir.
"Semua aspek untuk hadapi banjir ini kami dipihak mukim telah sedia dibantu NGO politik dan skuad Sabil.
"Kita sudah sedia hadapi banjir terutama kawasan istimewa seperti kawasan terlibat air pasang dan hujan lebat," katanya.
Seorang lagi penduduk di Parit Raja Muar, Saiful Mohd, 36, hairan sebelum ini di Muar tidak pernah banjir.
Beliau berkata, bagaimanapun dua tahun kebelakangan ini banjir sering berlaku.